Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki pecah masuk kedai di Sibu Jaya dipenjara satu tahun, denda RM10,000

-

Mahkamah Majistret semalam menjatuhka­n hukuman penjara satu tahun dan denda RM10,000 terhadap seorang lelaki yang memecah masuk sebuah kedai di Sibu Jaya, Ahad lepas.

Sekiranya gagal membayar denda terbabit, tertuduh Desmond Buan, 23, diperintah oleh Majistret Oon Kork Chern menjalani hukuman penjara setahun.

Desmond terdahulu didakwa memecah masuk sebuah kedai di Sibu Jaya melalui saluran udara dengan niat untuk mencuri pada 10 Mac 2024, kira-kira jam 1 pagi.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda, jika sabit dengan kesalahan.

Fakta kes menyatakan pada 10 Mac 2024, kira-kira jam 8.10 pagi, pengadu yang hendak memulakan kerja mendapati saluran udara di hadapan kedai telah dirosakkan.

Ketika diperiksa di dalam kedai, pengadu mendapati sebuah komputer riba jenama HP telah hilang, selain wang tunai kira-kira RM30,000 yang disimpan di dalam laci meja. Pengadu kemudian membuat laporan polis dan kerugian dianggarka­n lebih kurang RM32,000.

Pada 11 Mac 2024, kirakira jam 12 tengah hari, bertindak atas maklumat, pihak polis telah menahan seorang lelaki iaitu tertuduh di sebuah rumah panjang di Jalan Durin bagi membantu siasatan.

Dengan dipandu arah oleh tertuduh, pihak polis telah pergi ke belakang sebuah kedai di Sibu Jaya dan menjumpai sebuah komputer riba jenama HP.

Sisatan pihak polis mendapati tertuduh telah memecah masuk kedai terbabit melalui saluran udara di hadapan kedai, sebelum keluar semula melalui jalan yang sama.

Perbuatan tertuduh itu telah berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai bersebelah­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia