Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki didenda RM7,000 kerana simpan minyak diesel di tempat tidak dibenarkan

-

Seorang lelaki didenda RM7,000 di Mahkamah Sesyen semalam, gara-gara menyimpan barang kawalan iaitu 2,001 liter minyak diesel di tempat tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan barang berjadual.

Hakim Iris Awen Jon memerintah­kan Wong Tak Leong, 35, untuk dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Wong mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 22(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntu­kkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n kertas pertuduhan, Wong didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah premis di Jalan Setia Raja di sini pada 16 Ogos 2023, sekitar jam 8.32 malam.

Mengikut keterangan kes, sepasukan anggota Penguat Kuasa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Kos

Sara Hidup (KPDN) Sarawak telah menahan sebuah kenderaan dipandu oleh pekerja Wong pada malam kejadian.

Penahanan itu dibuat susulan ia membawa muatan minyak diesel sebanyak 2,001 liter yang disimpan di dalam dua tangki plastik IBC (Intermedia­te Bulk Container) di bahagian ruang dalam kenderaan berkenaan.

Minyak diesel merupakan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berikutan itu, laporan polis dibuat dan siasatan mendapati Wong sebagai pemilik barangan serta kenderaan tersebut tidak mempunyai sebarang lesen atau permit barang kawalan berjadual yang dikeluarka­n atas namanya.

Siasatan lanjut juga mendapati barang-barang kawalan yang dirampas daripada tertuduh adalah minyak diesel bersubsidi kerajaan yang dibeli daripada stesen-stesen minyak sekitar bandar raya Kuching.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN Nor Azhari Yusof sementara Wong tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia