Utusan Borneo (Sarawak)

SK Semerah Padi lancar tabung Fastabiqul Khairat, untuk membantu golongan asnaf

-

Sekolah Kebangsaan (SK) Semerah Padi melancarka­n tabung Fastabiqul Khairat untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Guru Besar SK Semerah Padi Aida Kertina Hamden Hamid berkata, tabung itu diwujudkan bagi menambah dana untuk menyediaka­n bakul makanan kepada golongan berkenaan.

“Kita akan buka tabung ini kepada kepada para pelajar dan orang ramai yang ingin bersedekah sepanjang bulan Ramadan ini.

“Selain dalam bentuk wang tunai, kita juga mengalu-alukan sumbangan berupa barang keperluan dan mereka yang ingin menyumbang boleh terus berhubung dengan pihak sekolah,” katanya pada program Fastabiqul Khairat di SK Semerah Padi di sini, kelmarin.

Menurut Aida, program itu merupakan aktiviti tahunan wajib Panitia Agama Islam sekolah berkenaan sepanjang bulan Ramadan.

Ia katanya, bertujuan untuk memupuk amalan bersedekah dalam kalangan kanak-kanak sejak peringkat awal usia.

“Kita mahu amalan ini menjadi satu cara hidup mereka sehingga dewasa nanti. Bersedekah tidak semestinya dengan wang ringgit semata-mata, ia boleh dilakukan melalui pelbagai bentuk.

“Pada bulan Ramadan, amalan bersedekah sangat dituntut oleh agama kita. Justeru, banyakkan bersedekah pada bulan ini kerana pahalanya berlipat kali ganda,” katanya.

Antara objektif lain program itu tambahnya, untuk mendedahka­n murid-murid dengan amalan sunat yang dituntut sepanjang Ramadan selain menerapkan akhlak mulia selaras dengan tuntutan agama.

“Di samping melahirkan para pelajar yang prihatin serta membentuk sahsiah murni dalam kalangan mereka untuk menjadi insan yang cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat dengan mengamalka­n amalan yang dituntut dalam Islam,” katanya.

Sementara itu, sepanjang bulan Ramadan ini, SK Semerah Padi akan mengadakan aktiviti bertadarus, khatam al-Quran, majlis berbuka puasa, tarawih, agihan bakul makanan dan sumbangan duit raya kepada murid-murid sekolah.

 ?? ?? LANCAR: Aida (tengah) bersama-sama pentadbir sekolah bergambar kenangan selepas melancarka­n tabung Fastabiqul Khairat SK Semerah Padi.
LANCAR: Aida (tengah) bersama-sama pentadbir sekolah bergambar kenangan selepas melancarka­n tabung Fastabiqul Khairat SK Semerah Padi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia