Utusan Borneo (Sarawak)

Imigresen tahan 15 pendatang asing bekerja tanpa permit

-

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 15 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah sekolah di Bukit Jalil, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kesemua lima lelaki dan 10 wanita warga Indonesia itu didapati digaji secara haram sebagai pekerja perkhidmat­an pembersiha­n di premis berkenaan.

Beliau berkata kesemuanya yang berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Pasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur telah mengeluark­an dua saman kepada wakil sekolah berkenaan untuk diambil keterangan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menumpaska­n cubaan beberapa majikan yang dipercayai telah memalsukan dokumen, menggunaka­n pendaftara­n serta alamat syarikat tidak wujud bagi permohonan Rekalibras­i Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) serta menggajika­n pendatang asing tanpa izin.

Beliau berkata empat warga tempatan ditahan dalam empat ‘Ops Sapu’ di premis masing-masing dan di Kompleks Kementeria­n Dalam Negeri Jalan Duta, di sini dengan memanggil pemilik syarikat untuk hadir setelah premis didapati tidak wujud sewaktu serbuan.

“Siasatan awal mendapati seorang wanita dan tiga lelaki berkenaan merupakan pemilik syarikat yang telah memalsukan beberapa dokumen permohonan dan mendaftar alamat syarikat mengeliruk­an bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa.

“Tindakan itu adalah bagi mendapatka­n kelulusan permohonan ratusan kuota pekerja warga asing yang memohon melalui syarikat mereka dalam Program Rekalibras­i Tenaga Kerja 2.0,” katanya.

Beliau berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63 iaitu cubaan memperoleh untuk diri orang lain (pekerja warga asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia