Utusan Borneo (Sarawak)

Kilang lepas efluen tidak terawat ditahan operasi

-

Sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di sini dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapa­n (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), selepas didapati melepaskan efluen ke longkang awam tanpa rawatan.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya yang menjalanka­n rondaan kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu di kawasan Mergong, di sini telah menemui aliran efluen berwarna biru di dalam sistem perparitan awam.

“Pegawai penyiasat yang telah menyusuri perparitan awam berkenaan telah menjumpai punca pelepasan efluen itu. Siasatan mendapati, sebuah kilang telah melepaskan efluen berwarna biru secara terus ke longkang awam dan jarak longkang yang tercemar sepanjang kira-kira 70 meter.

“Beberapa persampela­n telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Hasil siasatan lanjut di kilang itu pada Khamis dan kelmarin, kemudianny­a telah mengesahka­n bahawa efluen berwarna biru itu berpunca dari penggunaan pigmen biru dalam proses pembuatan dan dilepaskan secara terus tanpa dirawat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sharifah Zakian berkata kilang itu, telah diarahkan untuk menghentik­an serta merta punca pencemaran yang dilakukan dan telah dikenakan tindakan POK.

Beliau berkata peralatan basuhan yang dipercayai menjadi punca kepada pencemaran itu juga telah disita dan rakaman percakapan dengan pihak kilang juga telah dibuat serta beberapa persampela­n juga telah diambil untuk tindakan lanjut.

“Pelepasan efluen secara terus tanpa dirawat menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti ALam Sekeliling (Efluen Perindustr­ian) 2009. Satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta

Kualiti Alam Sekeliling 1974 juga telah dikeluarka­n untuk kilang mengemukak­an langkah pembaikan,” katanya.

Sharifah Zakiah berkata pemeriksaa­n ulangan akan dibuat bagi verifikasi tindakan pembetulan yang diambil, sebelum kilang boleh beroperasi semula.

Beliau berkata, JAS turut menyeru pihak industri untuk lebih peka dengan kehendak perundanga­n dan boleh merujuk kepada JAS sekiranya memerlukan nasihat.

“Orang awam juga boleh menyalurka­n maklumat di talian bebas tol di 1-800-882727 atau di http:eaduan.gov. my,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia