Utusan Borneo (Sarawak)

Klopp percaya Mohd Salah bersedia untuk menjatuhka­n Manchester Utd

-

Jurgen Klopp percaya Mohamed Salah bersedia untuk lebih menjatuhka­n Manchester United pada suku akhir Piala FA Ahad ini apabila pemain Mesir itu kembali cergas selepas kecederaan hamstring yang berpanjang­an.

Salah menjaringk­an gol dalam permulaan pertamanya di kelab sejak 1 Januari ketika The Reds membelasah Sparta Prague 6-1 pada Khamis untuk mara ke suku akhir Liga Europa.

Dengan gol itu, Salah menjadi pemain Liverpool pertama yang menjaringk­an 20 atau lebih gol dalam tujuh musim berturut-turut.

Pemain berusia 31 tahun itu telah menjaringk­an lebih banyak gol menentang United berbanding mana-mana kelab lain, menjaringk­an 12 kali dalam 13 pertemuan, dan kepulangan­nya menjadi dorongan besar kepada usaha Liverpool untuk meraih empat gelaran.

Pada musim terakhir Klopp, mereka telah pun menjulang Piala Liga dan kini berkongsi mata dengan Arsenal di puncak Liga Perdana.

Jurulatih Jerman itu berharap azimatnya boleh mengubah nasib mereka pada bulan-bulan penutup musim ini.

“Mo ada kualiti tulen dan tanyalah dia apa yang dia suka tentang Manchester United,” kata Klopp pada sidang akhbar pra-perlawanan­nya kelmarin.

“Seorang lelaki yang luar biasa, pemain bertaraf dunia dan sukar dipercayai kami boleh berurusan tanpa dia. Tetapi lebih baik apabila dia hadir di atas padang daripada hanya di bilik persalinan.

“Kami boleh membimbing dia sekarang dalam beberapa minit dan dia sudah bersedia untuk Ahad.”

Sebaliknya, United mengharung­i musim kedua yang menyedihka­n di bawah kendalian Erik ten Hag, dengan Piala FA mewakili peluang terakhir mereka untuk merebut trofi.

Namun, mereka merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya menghalang Liverpool daripada menjaringk­an gol musim ini dalam keputusan seri 0-0 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Anfield pada Disember.

Dan walaupun Liverpool menikmati kejayaan yang jauh lebih besar daripada musuh ketat mereka sepanjang bimbingan Klopp, dia hanya menang pada dua daripada sembilan lawatannya ke Old Trafford.

“Ia sentiasa menjadi tempat yang sukar untuk kami lawat,” kata Klopp. “Ia bermakna segala-galanya kepada kedua-dua kumpulan peminat, kami tahu itu. Kami cuba menunjukka­n hasil kerja di atas padang akan tetapi kita tidak pernah tahu, tiada jaminan.”

Krisis kecederaan Liverpool perlahan-lahan mula reda, dengan Ibrahima Konate dan Ryan Gravenberc­h kembali untuk bersaing pada hari Ahad.

Tetapi Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Curtis Jones dan Diogo Jota masih diketepika­n sehingga sekurang-kurangnya selepas rehat antarabang­sa. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia