Utusan Borneo (Sarawak)

Pemegang kad OKU diberkas kerana cuba larikan kanak-kanak

-

Seorang lelaki pemegang kad orang kurang upaya (OKU) diberkas kerana disyaki hendak melarikan seorang kanak-kanak di kawasan perumahan, Jalan Lapangan Terbang, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching

ACP Ahsmon Bajah memberitah­u, tangkapan itu dilakukan di kawasan perumahan tersebut sekitar jam 6.55 petang.

“Bertindak atas maklumat orang awam, pihak polis berjaya menangkap lelaki tempatan berusia 30 tahun dalam cubaan melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang ketika itu sedang bermain di kawasan luar rumahnya di Jalan Lapangan Terbang.

“Turut dirampas ketika tangkapan itu dilakukan ialah sebuah kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Ahsmon, siasatan awal mendapati suspek merupakan pemegang kad OKU dengan masalah pembelajar­an.

“Suspek telah menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak 2001 untuk ‘attention deficit hyperactiv­e disorder’ (ADHD).

“Lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” jelasnya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 356/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba melarikan orang yang memperuntu­kkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, suspek telah didakwa di Mahkamah Kuching di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama pada 15 Mac lalu sekitar jam 9 pagi.

Katanya, mahkamah telah memerintah­kan suspek ditahan di Hospital Sentosa, Kuching untuk penilaian psikiatri.

“Kes akan disebut semula pada 22 April 2024 setelah laporan perubatan diterima,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia