Utusan Borneo (Sarawak)

Kes gangguan seksual babit guru, kakitangan dengan pelajar harus disiasat dengan teliti

-

Kesatuan Guru Sarawak (STU) mahu setiap laporan kes gangguan seksual membabitka­n guru dan kakitangan sekolah dengan pelajar disiasat dengan teliti terlebih dahulu.

Presidenny­aKullinDja­yang berkata pihak terbabit perlu hadir berjumpa pihak sekolah untuk memastikan keadaan sebenar sebelum membuat sebarang tuduhan.

“STU bersetuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek), guru dan kakitangan sekolah yang didapati terbabit dengan jenayah seksual dalam kalangan pelajar akan dipecat.

“Namun begitu setiap laporan kes gangguan seksual yang dilaporkan harus disiasat dengan teliti. Kita tidak mahu ibu bapa hanya mendengar aduan daripada anak-anak tanpa mendengar penjelasan guru atau staf terbabit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

“Biarlah kita mendengar penjelasan kedua-dua pihak untuk menentukan kesahihan tuduhan tersebut,” katanya.

Kullin menegaskan, STU tidak akan berkomprom­i sekiranya benar guru atau kakitangan sekolah melakukan gangguan seksual ke atas pelajar.

Dalam pada itu beliau mahu KPM menggarisk­an dengan jelas jenis tindakan yang diklasifik­asikan sebagai gangguan seksual membabitka­n guru dan kakitangan sekolah dengan pelajar.

Ini kerana ujarnya, beberapa tugas guru atau kakitangan sekolah berkaitan aktiviti bersama pelajar seperti ketika bersukan dan latihan seni tarian, kadangkala melibatkan sentuhan fizikal yang tidak dapat dielakkan.

“Dengan tegasnya juga kita sebagai kesatuan guru menegaskan kepada semua ibu bapa agar tidak melakukan tuduhan tanpa bukti terhadap guru.

“Ini kerana tuduhan yang tidak berasas akan mengaibkan guru terbabit, oleh itu kita juga berhak mengambil tindakan saman malu terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan secara melulu,” tegasnya.

Justeru ujarnya, semua perkara yang berlaku harus disiasat dan dibincangk­an terlebih dahulu dengan pihak sekolah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Fadhlina yang melaungkan amaran itu sambil menambah, Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited dan berusaha memastikan sekolah menjadi tempat yang paling selamat kepada pelajar.

Media memetik Fadhlina sebagai berkata, terdapat peningkata­n kes membabitka­n gangguan seksual terhadap kanak-kanak ketika ini dan ia membimbang­kan.

“Saya ingin menyampaik­an amaran hari ini, jika terdapat sebarang kes jenayah seksual dalam institusi pendidikan `you touch, you go’ (guru atau pentadbir akan dipecat).

“Kita kena sampaikan amaran itu supaya mereka faham bahawa kita serius untuk memastikan kes-kes (jenayah seksual) ini tidak akan berlaku di sekolah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada perasmian Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindung­an Murid Daripada Eksploitas­i Seksual di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di Shah Alam, Selangor semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia