Utusan Borneo (Sarawak)

Program Intervensi Literasi, Numerasi langkah awal kesan masalah 3M, tegas Fadhlina

-

Kementeria­n Pendidikan (KPM) memperkena­lkan Program Intervensi Literasi dan Numerasi kepada murid tahun satu sebagai langkah pengesanan awal terhadap murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Bercakap pada sidang media khas berhubung intervensi kurikulum di sini semalam, Fadhlina berkata program pengesanan awal itu bermula pada sesi akademik 2024/2025.

Beliau berkata tempoh tiga bulan pertama adalah untuk guru menjalanka­n proses saringan bagi mengenal pasti murid tahun satu yang berhadapan dengan masalah penguasaan 3M.

“Selepas tiga bulan, murid yang dikenal pasti belum menguasai kemahiran 3M akan dikeluarka­n dari kelas semasa dan ditempatka­n di bawah program ini selama tiga bulan.

“Murid-murid ini akan mula mengikuti program intervensi bermula Julai. Apabila murid berkenaan telah kompeten dalam tempoh tiga bulan, mereka akan kembali ke kelas asal,” katanya.

Pada Mac 2020, KPM telah memperkena­lkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) sebagai sokongan pengajaran dan pembelajar­an yang komprehens­if serta menyeluruh untuk murid tahun dua dan tiga.

Ia bertujuan memastikan murid tahun dua dan tiga menguasai sekurangku­rangnya tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Dalam perkembang­an lain, Fadhlina berkata Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (semakan 2017) Edisi Tiga bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu telah sedia untuk digunakan bermula sesi akademik 2024/2025.

Beliau berkata penjajaran kurikulum itu melibatkan pengemaski­nian dan penyusunan semula kandungan mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap Satu sedia ada.

“Dokumen ini disediakan sebagai pilihan kepada guru dalam pelaksanaa­n kurikulum sekolah rendah dan boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan Sains dan Matematik Tahap Satu,” katanya dan menambah dokumen penjajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan menyusul tidak lama lagi.

Mengenai pelaporan Pentaksira­n Bilik Darjah (PBD),

Fadhlina berkata pelaporan berkenaan boleh diakses ibu bapa secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksira­n Bersepadu bermula sesi akademik 2024/2025.

“Selain itu, pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua mata pelajaran akan ditukar dalam bentuk peratus dan gred,” katanya.

Beliau berkata penataran bagi semua inisiatif berkenaan akan disebarlua­skan kepada semua guru mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah bermula esok melalui penganjura­n bengkel serta latihan.

Fadhlina berkata semua usaha berkenaan merupakan pendekatan untuk melihat ke hadapan sebagai langkah persediaan pelaksanaa­n Kurikulum Persekolah­an 2027 yang memberi tumpuan kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentuka­n karakter murid.

“KPM amat menghargai keprihatin­an dan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap kurikulum persekolah­an sedia ada. Maklum balas daripada pihak berkepenti­ngan termasuk ibu bapa merupakan satu daripada sumber maklumat yang penting dalam pembanguna­n kurikulum,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? CERIA: Fadhlina pada sidang media berkenaan Intervensi Kurikulum bagi menangani isu keciciran pembelajar­an di Kementeria­n Pendidikan, Putrajaya semalam.
— Gambar Bernama CERIA: Fadhlina pada sidang media berkenaan Intervensi Kurikulum bagi menangani isu keciciran pembelajar­an di Kementeria­n Pendidikan, Putrajaya semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia