Utusan Borneo (Sarawak)

Swiatek tewaskan Sakkari, mendominas­i Indian Wells

-

INDIAN WELLS: Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Iga Swiatek, mudah menewaskan Maria Sakkari dari Greece 6-4 dan 6-0 pada Ahad untuk menjulang trofi WTA Indian Wells yang kedua berturut-turut dan juga meraih kemenangan pertama ke atas Sakkari.

Perlawanan pada Ahad adalah mirip final 2022 yang menghasilk­an keputusan yang hampir sama dengan Swiatek menguasai sepenuhnya set kedua untuk memenangi kejuaraan yang ke-19 dalam kariernya dan kejuaraan yang kedua tahun ini.

Sakkari, pemain ranking kesembilan dunia, bersaing agak kuat pada set pertama sebelum Swiatek meraih kemenangan dalam masa 44minit.

Swiatek bagaimanap­un mengambil masa 24 minit lagi untuk melengkapk­an kemenangan dengan tidak langsung memberikan sebarang mata kepada lawannya.

Jaguh dari Poland itu, yang meneruskan kebangkita­n selepas dikejutkan di pusingan ketiga Terbuka

Australia pada bulan Januari, berkata tempoh 12 hari pada kejohanan di sini tidak semudah seperti keputusan akhir di final.

Dia juga hanya tewas 21 permainan dan tidak tewas satu set pun di sini.

“Saya benar-benar bangga dengan diri saya,” katanya. “Walaupun kejohanan ini kelihatan, berdasarka­n keputusan di mana saya mungkin mengawal sepenuhnya, ia tidak mudah dari awal.

“Jadi saya gembira kerana saya dapat meningkat sepanjang kejohanan ini. Saya berasa benar-benar bagus dalam dua perlawanan terakhir, memberikan keyakinan yang tinggi,” kata Swiatek, di mana pencapaian­nya di sini termasuk kemenangan ke atas Linda Noskova – bintang remaja dari Republik Czech yang mengejutka­nnya di pusingan ketiga Terbuka Australia.

Sejak kekecewaan itu, Swiatek sudah kembali bergaya, memenangi kejuaraan di Doha dan melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan di Dubai.

Pada Ahad, dia menjadi pemain wanita ke-10 yang memenangi kejuaraan WTA Indian Wells sebanyak dua kali, menyertai nama besar seperti Serena Williams dan Kim Clijsters sebagai pemain yang memenangi dua kejuaraan sebelum mencecah usia 23 tahun.

“Saya berasa saya sudah melakukan usaha yang sangat bagus,” kata Swiatek. “Ia bukan mudah selepas (kekalahan di) Australia dan saya berusaha gigih untuk bermain dengan baik dan menangani isu mental dengan lebih baik.”

Swiatek bermula garang apabila mendahului 3-0 pada set pertama.

Sakkari, yang memenangi dua kejuaraan dalam kariernya, bangkit dalam permainan kelima dan berjaya mengikat kedudukan 4-4.

Namun selepas itu, dia hilang rentak dengan mendadak dan tewas lapan permainan berturut-turut untuk memberikan kejuaraan kedua Swiatek di Indian Wells. — AFP

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia