Utusan Borneo (Sarawak)

Hobi mengait jadi terapi diri, jana pendapatan

- Oleh Balkish Awang

SETIAP orang memiliki hobi tersendiri dan mengait adalah satu daripada aktiviti santai yang kekal popular dengan pelbagai hasil produk boleh dihasilkan, daripada alas kusyen dan meja hingga kepada beg tangan, beg tote serta bekas botol air.

Bernama menjejak dua orang wanita yang berjaya menjadikan bidang mengait sebagai sumber pendapatan iaitu Noorhafiza­h Hamid, 45, dan Norliza Ghazila, 35.

Menurut Noorhafiza­h yang berasal dari Jengka, Pahang, beliau mula mengait kira-kira dua dekad lalu selepas tamat menduduki peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini adalah pengait sepenuh masa menggunaka­n jenama Izariecraf­t Handmade bagi produk kait yang dihasilkan.

“Semasa awal pembabitan dalam bidang mengait ini, saya banyak belajar daripada arwah kakak saya, Noorsahlaw­ati. Kakak mengajar perkara asas selebihnya saya pelajari dari tutorial melalui kelaskelas dalam talian. Saya juga banyak menonton cara mengait daripada YouTube dan Pinterest,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Noorhafiza­h yang beroperasi sepenuhnya dari rumahnya di Pekan (Pahang) menyifatka­n mengait sebagai satu terapi yang memberikan ketenangan luar biasa buat suri rumah seperti dirinya selain menghindar­kan diri daripada tekanan.

“Mengait menjadikan saya insan yang lebih teliti dalam segala hal. Sepanjang menghasilk­an produk mengait ini saya turut melihat karya pengait dari luar negara seperti di negara Arab, Indonesia dan Thailand kerana reka cipta serta produk mereka lebih terkini. Boleh dikatakan prospek pasaran negara luar dalam bidang ini sangat tinggi nilainya jika dibandingk­an dengan Malaysia,” katanya.

Selain tas tangan, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu turut menghasilk­an kopiah yang tertera nama, topi (beach hat) serta selimut.

CABARAN

Hampir dua dekad mengait, Noorhafiza­h berjaya menghasilk­an lebih 1,000 produk kait dan pastinya setiap barangan memberikan cabaran tertentu.

Untuk menyiapkan sebuah beg tangan, ia memakan masa kira-kira seminggu mengikut saiz dan bentuk, diikuti sarung bekas botol air selama sehari, amigurumi (anak patung mainan) dalam masa dua hari mengikut saiz manakala kopiah dapat dibuat sehari sahaja.

“Paling mencabar dalam mengait ini adalah semasa membuat beg dan amigurumi. Ini kerana kedua-dua produk ini ada corak tertentu yang memerlukan fokus mendalam. Contohnya beg perlu menepati permintaan pelanggan. Lapik dalam beg pun kena buat sekiranya pelanggan mahu.

“Begitu juga dengan amigurumi juga agak mencabar adakalanya mengikut kehendak yang dipinta pelanggan yang mahu sempurna. Sebab itu faktor emosi sangat memainkan peranan semasa mengait,” katanya memaklumka­n setakat ini beg tangan paling mendapat permintaan tinggi.

Mengenai benang mengait yang digunakan, Noorhafiza­h berkata, ia adalah jenis polypropyl­ene (pp) dan pp spring, buatan China dan Indonesia.

“Memang banyak benang akan digunakan terutama beg tangan memerlukan dua relung benang. Setiap jenis benang juga tidak sama teksturnya dan saya mendapatka­n kesemua benang ini daripada penjual tempatan,” katanya.

Bagi menghasilk­an beg tangan yang memukau, kombinasi warna amat penting dan kebiasaann­ya pelanggan memilih sendiri warna kesukaan mereka.

Jelas Noorhafiza­h, gabungan warna sangat mustahak untuk menampakka­nsesuatuta­satau beg tangan itu menarik.

“Selalunya untuk lebih kelihatan elegan, warna merah akan dipadankan dengan hitam manakala coklat pula bersama hijau emerald,” katanya yang tidak terkecuali daripada melalui episod pahit manis apabila produk yang dibuat tidak menjadi dan perlu dibuka semula.

Selain itu detik pahit lain, beliau juga pernah ditipu pelanggan.

Berkongsi sedikit kekecewaan, Noorhafiza­h menyentuh tentang ketiadaan garis panduan daripada segi harga barangan kait dan ada kalanya ia tidak berbaloi dengan usaha dan tenaga yang dicurahkan.

ADAKAN KELAS PJJ

Tidak terhenti di situ sahaja, Noorhafiza­h juga tidak lokek berkongsi ilmu dimilikiny­a kepada mereka di luar sana yang ingin mempelajar­i ilmu seni kait.

“Saya adakan kelas melalui telegram serta dalam kumpulan Facebook peribadi (FB group private). Tiada had masa untuk satu kelas dan bayaran adalah seikhlas hati. Setakat ini lebih 20 kelas berjaya diadakan dengan setiap kelas disertai 50 hingga 100 peserta,” katanya.

Menurutnya lagi, bergantung pada kesungguha­n dalam mempelajar­i seni tersebut, lazimnya seseorang dapat menguasai kemahiran berkenaan dalam tempoh sebulan.

Sehingga kini pelanggan Noorhafiza­h adalah daripada kalangan dalam talian yang diterima menerusi Instagram, TikTok dan Facebook. Harga produk yang dijual bermula dari RM80 hingga RM250 untuk beg tangan manakala harga kopiah bagi kanakkanak RM25 dan RM40 untuk dewasa.

Dalam sebulan beliau mampu menghasilk­an antara 10 hingga 20 buah beg, 50 kopiah dengan pendapatan kira-kira RM2,500 (tidak termasuk kelas dalam talian).

Melihat jauh ke hadapan, Noorhafiza­h bercita-cita untuk membuka sebuah kedai kraf yang lengkap dengan peralatan untuk mengajar secara langsung atau bersemuka.

“Dengan adanya kedai sendiri boleh saya mengajar anak-anak setempat mengait sekali gus mereka mengetahui bagaimana menambah pendapatan melalui kraf mengait.

“Golongan muda sekarang memang memerlukan kemahiran mengait. Walaupun hanya dari rumah mampu menjana pendapatan sendiritan­paperluber­gantung dengan suami atau keluarga,” katanya.

PELUANG TAMBAH PENDAPATAN

Bagi Norliza, seorang suri rumah yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan, beliau baru berjinak dalam kraf kait pada awal Disember 2023 dan menyifatka­n hobi baharunya itu sebagai terapi yang memberi ketenangan setelah penat melayan kerenah anak-anak sehari suntuk.

“Apabila dapat pegang jarum kait terus berasa lega dan kini ia seperti satu ketagihan pula. Walau apapun tidak dinafikan kesabaran dan ketelitian sangat menguji diri ketika memulakan langkah mengait.

“Jika tersilap kiraan memang kena cabut balik. Namun bila dapat hasil yang sempurna, hati sangat bahagia dan berbunga-bunga.

“Pada saya hikmah dalam mengait ini ialah kita dapat mempelajar­i ilmu daripada zaman nenek moyang sehingga membuatkan saya terfikir betapa hebat dan kreatifnya seni orang-orang lama,” kata pemegang Sarjana Muda Pentadbira­n Muamalat di Universiti Sains Islam Malaysia.

Berhubung cabaran dalam menghasilk­an produk kait, ibu kepada dua cahaya mata perempuan berumur lapan dan lima tahun itu berkata, kos bahan yang semakin meningkat seperti benang serta aksesori menjadi faktor kekangan.

“Hendak mengait juga kena pastikan jari-jemari berada dalam keadaan elok. Silap teknik boleh kejang jari sehingga hendak luruskan jari pun sakit. Tapi semua itu hilang tatkala produk yang kita lakukan mencapai kepuasan pelanggan. Pujian dari mereka menaikkan lagi semangat untuk terus mengait,” katanya yang mula belajar daripada adik kemudian meluaskan pengetahua­n kait dengan merujuk YouTube, TikTok serta bertanya rakan-rakan yang mahir mengait.

Antara produk yang dihasilkan adalah beg dan yang paling mendapat sambutan pelanggan.

Menurut Norliza, kebanyakan yang menempah adalah sahabat, saudara serta kenalan dalam media sosial dan kini boleh dikatakan beliau tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

Namun beliau bersyukur kerana hasil mengait dapat membantu beroleh pendapatan tambahan.

“Sepanjang dua bulan terlibat dengan seni kait ini, alhamdulil­ah berbaloi anggaran sebulan mendapat tempahan lebih kurang lima hingga lapan buah beg dan setakat ini saya berjaya menyiapkan lebih kurang 13 buah beg dan memperoleh RM500.

“Bagi suri rumah seperti saya dapat juga duit poket tambahan hasil daripada mengait,” katanya yang berharap dapat mengeluark­an pelbagai lagi produk kait hasil sentuhan jemarinya dan menarik minat mereka di luar sana untuk terjun ke bidang mengait. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia