Utusan Borneo (Sarawak)

Larangan merokok: KKM beri kuasa kepada 189 pegawai penguat kuasa

-

Kementeria­n Kesihatan (KKM) telah memberi kuasa kepada 189 pegawai penguat kuasa seperti polis bantuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain di bawah Seksyen 3 Akta Makanan 1983 atau Akta 281 bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap larangan merokok di tempat yang tidak dibenarkan.

Timbalan Menterinya Lukanisman Awang Sauni berkata proses itu akan diteruskan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) selain pemerkasaa­n masyarakat melalui penglibata­n badan bukan kerajaan (NGO), badan profesiona­l dan lain-lain.

“Sehingga kini, terdapat 189 pegawai penguat kuasa dan polis bantuan iaitu 95 penguat kuasa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 77 polis bantuan daripada Kumpulan Sunway dan 17 polis bantuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh telah diturunkan kuasa bagi memastikan pematuhan orang ramai,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr Noraini Idris berhubung kolaborati­f penguatkua­saan oleh kementeria­n bersama pihak berkaitan dalam membendung perbuatan di tempat awam yang merisikoka­n orang awam.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata pewujudan ruang khas di luar kawasan kedai makan iaitu tempat diwartakan sebagai tempat larangan merokok perlu mendapatka­n kebenaran PBT.

Katanya, Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 20 Jan 2020 telah mengeluark­an pekeliling iaitu sekiranya mana-mana pihak ingin mengadakan tempat merokok mesti dibina menurut syarat yang ditetapkan dan mendapat kebenaran PBT.

“Tujuan utama adalah untuk memastikan hanya kemudahan asas seperti tempat abu rokok sahaja disediakan bagi mengelakka­n perokok berada lama di tempat itu.

“KKM terlibat dalam pelaksanaa­n oleh PBT untuk memastikan semua input teknikal seperti yang digariskan dalam pekeliling ini dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata penyediaan tempat merokok di luar kawasan diwartakan adalah bagi memastikan pematuhan kepada peraturan larangan merokok di tempat makan seperti yang termaktub di bawah Peraturan 11(1)(d), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah KKM kekal diikuti bagi melindungi rakyat daripada bahaya asap atau wap produk vape.

Selain itu, ia bagi memastikan kebersihan tempat awam daripada pembuangan puntung rokok merata-rata dan mewujudkan keadaan denormalis­asi budaya merokok dalam kalangan masyarakat terutama orang belum dewasa dengan meletakkan tempat merokok jauh daripada pandangan awam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia