Utusan Borneo (Sarawak)

Emraz Travel & Tours, pengarah didakwa gagal bayar tuntutan bakal jemaah

-

JOHOR BAHRU: Syarikat pengendali pakej umrah Emraz Travel and Tours Sdn Bhd bersama seorang pengarahny­a mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas lapan pertuduhan gagal membayar balik perintah tuntutan wang berjumlah RM131,890 kepada lapan bakal jemaah.

Pengarahny­a Datuk Zulkarnain Endut, 43, yang juga mewakili syarikat berkenaan didakwa gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang memerintah­kan syarikat itu membayar balik tuntutan wang antara RM4,900 hingga RM40,470 kepada kelapanlap­an mangsa.

Zulkarnain dan syarikat itu selaku orang kena saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat TTPM, Aras 17, Menara Ansar, Jalan Trus di sini antara 24 Julai 2023 sehingga 10 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindung­an Pengguna 1999 itu memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membenarka­n Zulkarnain diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya sekali setiap sebulan.

Mahkamah menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan bacaan pertuduhan terhadap seorang lagi OKS iaitu pengarah syarikat berkenaan Datin Mazuin

Mustafa, 43, yakni isteri Zulkarnain yang tidak dapat hadir ke mahkamah kerana cuti sakit.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya KPDN Mohd Sophian Zakaria, Suhana Mohd dan Shafiq Mahadi manakala Zulkarnain dan syarikatny­a itu diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Untuk rekod sebelum ini OKS telah dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Putrajaya melibatkan 63 pertuduhan berjumlah RM589,031 pada 15 Jan lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia