Utusan Borneo (Sarawak)

Jamal Yunos gagal batal saman Khairy Jamaluddin

-

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos semalam gagal dalam permohonan­nya untuk membatalka­n saman difailkan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung sidang media yang didakwa berunsur fitnah semasa Perhimpuna­n Agung UMNO 2022 (PAU).

Peguam Shakeel Saifuzzama­n mewakili Khairy berkata Pesuruhjay­a Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr Suzana Muhamad Said menolak permohonan Jamal atas alasan terdapat isu-isu yang boleh dibicaraka­n dalam kes saman berkenaan.

“Permohonan defendan (Jamal) untuk membatalka­n writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif (Khairy) ditolak oleh mahkamah.

“Mahkamah turut menetapkan 27 Mei ini untuk pengurusan kes,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding secara dalam talian semalam.

Pada 19 Sept 2023, Jamal memfailkan permohonan untuk membatalka­n saman berkenaan antaranya atas alasan tuntutan terhadapny­a tidak jelas, mengaibkan selain satu penyalahgu­naan proses mahkamah.

Khairy yang memfailkan saman itu pada 24 Mei 2023 berkata pada PAU 2022 yang diadakan 14 Jan tahun lalu, Jamal mengadakan sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dihadiri pengamal media, perwakilan UMNO dan beberapa ahli serta pemimpin parti itu.

Plaintif mendakwa pada hari sama, Jamal memuat naik rakaman video bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluark­an kenyataan yang semberono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKi­niDanSelam­anya” di laman Facebook di bawah nama DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official).

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO itu, defendan turut memuat naik rakaman sama di akaun TikTok di bawah nama ‘jamal_yunos.’

Khairy mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud beliau adalah pemimpin yang tiada integriti, tidak layak menjadi seorang pemimpin selain tidak setia kepada UMNO dan pemimpin parti. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia