Utusan Borneo (Sarawak)

Ugut bunuh nenek, remaja kena bon jaga keamanan, kekasih dipenjara lapan bulan

-

Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun diperintah oleh Mahkamah Majistret semalam untuk menjalani bon menjaga keamanan selama enam bulan akibat mengugut bunuh neneknya yang berusia 75 tahun, selepas berang ditegur supaya tidak mabuk dan membuat bising.

Selain pesalah muda itu, turut terlibat sama dalam kejadian mengugut itu adalah kekasihnya, Andry Jani, 27, yang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, 18 Mac 2024.

Kedua-duanya mengaku bersalah dalam prosiding berasingan yang dijalankan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Remaja perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah, sementara kekasihnya Andry dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Mac 2024, sekitar jam 2 pagi di sebuah rumah di Skim Penempatan Semula Jalan Batu Kawa di sini.

Berdasarka­n fakta bagi kedua-dua kes, mangsa melihat cucunya (pesalah muda) bersama teman lelaki (Andry) serta anak perempuann­ya berada dalam keadaan mabuk dan membuat bising di ruang tamu pada waktu kejadian.

Mangsa kemudian menegur cucunya dan Andry untuk tidak berbuat demikian susulan jiran sebelah rumah mereka mempunyai anak kecil.

Bagaimanap­un, cucunya dan Andry tidak berpuas hati dan memarahi mangsa.

Malah, cucu mangsa menjerit mengeluark­an kata-kata ugutan hendak menetak mangsa sambil memegang sebilah pisau.

Sementara Andry pula mengacukan samurai kepada mangsa serta mengancam hendak membunuh mangsa.

Mangsa yang berasa takut serta terancam seterusnya keluar dari rumah dan terus pergi ke rumah jirannya.

Laporan polis dibuat dan kedua-dua tertuduh ditangkap pada hari sama, sekitar jam 8.40 malam.

Pendakwaan bagi keduadua kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Ammarsoffi Yusoff.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia