Utusan Borneo (Sarawak)

Dua individu ditahan disyaki dera lelaki di pusat pemulihan dadah

-

SEREMBAN: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes mengasari seorang lelaki sehingga mendatangk­an kecederaan di sebuah pusat pemulihan dadah dekat sini seperti yang tular menerusi laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata kedua-duanya yang merupakan pekerja pusat pemulihan berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun itu ditahan di pusat pemulihan berkenaan, kelmarin.

Beliau berkata pada jam 6.58 petang, Selasa lepas, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita menyatakan adik iparnya telah dipukul semasa berada di pusat pemulihan dadah itu.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul sejak mula mendaftar masuk ke pusat pemulihan dadah berkenaan kira-kira tiga bulan lepas.

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada seluruh anggota badan kini dirawat di sebuah hospital untuk menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurka­nnya ke Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerusi talian 06-7904 389.

Sementara itu di Pasir Mas, pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan menahan 1,741 individu dan merampas pelbagai barang dianggarka­n bernilai lebih RM119 juta dalam menangani 1,252 keskes jenayah yang dikesan di sempadan negara sepanjang tahun lepas.

Komander Briged Tenggara SAC Sheik Azhar Sheik Omar berkata antara keskes jenayah yang ditangani dalam Ops Taring Wawasan 2023 itu termasuk berkaitan kemasukan pendatang asing tanpa izin, penyeludup­an kontraban, senjata api dan dadah.

Beliau berkata dalam operasi tahun ini pula, sejak awal tahun hingga dua hari lepas 360 kes jenayah telah dibanteras, membabitka­n tangkapan 340 individu, dengan nilai keseluruha­n barang yang dirampas berjumlah hampir RM17 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia