Utusan Borneo (Sarawak)

Imigresen serbu 17 premis, tahan 33 PATI

-

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menggempur lokasi tumpuan mereka di daerah Muar, Mersing dan Segamat, pada Selasa lepas dan kelmarin

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata, 17 premis telah diserbu oleh sepasukan pegawai daripada unit penguat kuasa cawangan terlibat bermula jam 11 pagi hingga 1.30 pagi susulan aduan awam.

Beliau berkata pihaknya telah memeriksa 124 warga asing dalam Ops Gegar, Ops Sapu, Ops Minyak dan Ops Selera itu sebelum menahan 33 daripada mereka.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua wanita dan 12 lelaki warga Myanmar, seorang wanita serta 11 lelaki Thailand, empat lelaki Bangladesh dan tiga wanita Vietnam, berusia dalam lingkungan 15 hingga 64 tahun.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan semalam.

Baharuddin berkata enam notis hadir ke pejabat turut dikeluarka­n kepada individu dalam operasi terbabit bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, beliau berkata Bahagian Penguatkua­sa JIM Johor turut menahan 11 pendatang asing tanpa izin menerusi Ops Mahir dalam serbuan di dua kilang di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Beliau berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada seorang wanita dan 10 lelaki Myanmar berusia lingkungan 24 hingga 39 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi ini dijalankan susulan aduan awam yang menyatakan bahawa terdapat beberapa warga asing disyaki bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa,” katanya sambil menambah tiga individu diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia