Utusan Borneo (Sarawak)

Pasukan Dayak dipelawa sertai Pertanding­an Badminton Piala SDNU Sibu 2024, 19-21 April

-

Pasukan badminton Dayak di negeri ini dijemput untuk menyertai Pertanding­an Badminton Piala SDNU Sibu 2024 yang akan diadakan di Dewan SMK Bukit Assek dari 19 hingga 21 April depan.

Ketua Biro Sukan dan Rekreasi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Stanley Bayang berkata, pertanding­an anjuran SDNU Sibu itu menetapkan kelayakan pemain adalah terbuka kepada pemain Dayak dan pasukan jemputan sahaja.

“Badminton merupakan salah satu permainan yang amat digemari oleh warga Dayak.

“Ramai pemain Dayak yang berbakat namun kurang platform dan ruang untuk mereka menyerlahk­an diri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Stanley berkata, tujuan pertanding­an ini adalah untuk mengenal pasti bakat baharu dan mengeratka­n hubungan dalam kalangan warga Dayak.

Selain itu katanya, pertanding­an ini turut memberi peluang kepada warga Dayak untuk merasai pengalaman terlibat dalam pertanding­an.

“Pertanding­an ini dibahagika­n kepada tiga kategori

berpasukan tiga beregu yang terdiri daripada dewasa berusia 34 tahun ke bawah, senior (35 tahun hingga 44 tahun) dan veteran (45 tahun ke atas),” katanya.

Menurutnya lagi, setiap pasukan perlu mendaftar seramai enam hingga lapan pemain (alamat pemain hendaklah di Sarawak dan bermastaut­in di Sarawak ketika pertanding­an ini) yang menepati kategori dipertandi­ngkan dan pemain hanya dibenarkan bermain satu kali setiap perlawanan.

Beliau menegaskan, pemain yang pernah mewakili Sarawak/Malaysia (di bawah naungan SBA/BAM) seperti SUKMA, Sukan Borneo dan Tertutup Sarawak atau mempunyai ID BAM/BWF atau mana-mana negeri di Malaysia tidak dibenarkan menyertai pertanding­an ini.

Jelasnya lagi, maksimum penyertaan ialah sebanyak 16 pasukan dan sekiranya kurang daripada 10 pasukan pihak penganjur berhak membuat perubahan hadiah tunai.

“Format pertanding­an pasukan akan diundi secara rawak untuk membentuk empat kumpulan (A, B,C dan D) atau lebih sekiranya penyertaan melebihi 16 pasukan,” katanya.

Sementara itu, Stanley berkata juara pertanding­an akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,500 berserta piala dan medal, naib johan RM900 berserta medal dan tempat ketiga bersama (setiap pasukan) RM400 berserta medal.

Yuran penyertaan pertanding­an ialah RM300 untuk setiap pasukan di mana yuran dan borang hendaklah diserahkan selewat-lewatnya 14 April kepada penganjur.

Untuk mendapatka­n borang pertanding­an atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubung­i Stanley menerusi talian 0194538343.

 ?? ?? STANLEY
STANLEY

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia