Utusan Borneo (Sarawak)

Polis rampas pistol warga emas

-

Polis merampas sepucuk pistol yang disyaki digunakan seorang warga emas yang tidak berpuas hati dengan ejen penarik kereta, yang video kejadian itu jadi tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata, senjata api itu dirampas daripada suspek berusia 60 tahun yang bekerja sendiri, selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang semalam.

Kejadian didakwa berlaku pada 10.55 pagi Selasa lepas di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras semasa pengadu dan seorang rakan dikatakan mahu menarik kereta dinaiki anak perempuan suspek yang didakwa mempunyai tunggakan bayaran pinjaman.

“Suspek didakwa telah datang ke lokasi kejadian untuk menghalang tindakan pengadu dan berlaku perselisih­an faham kerana pengadu tidak dapat mengemukak­an surat bank dan laporan polis berkaitan tunggakan bayaran itu.

“Suspek kemudianny­a didakwa mengeluark­an pistol dari belakang badan dan mengacunya ke arah pengadu serta mengarahka­n dia dan rakannya untuk beredar dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bimbang dengan keselamata­n diri, pengadu yang berusia 34 tahun itu meninggalk­an lokasi kejadian, namun sempat merakam perbuatan suspek memegang senjata api itu, sebelum membuat laporan polis pada 12.48 tengah malam semalam (21 Mac).

Mohd Zaid mengesahka­n suspek yang mempunyai lesen senjata api yang sah turut membuat laporan polis mendakwa bertindak sedemikian kerana curiga terhadap niat pengadu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sebelum ini video berdurasi 10 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang pistol dan memberikan isyarat seakan amaran kepada individu dipercayai bekerja sebagai penarik kereta, tular di media sosial. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia