Utusan Borneo (Sarawak)

Korea Utara tidak boleh anjur aksi Kelayakan Piala Dunia

-

Korea Utara memberitah­u Jepun kelmarin bahawa ia tidak boleh menganjurk­an perlawanan kelayakan Piala Dunia minggu depan, kata ketua persatuan bola sepak Jepun, menimbulka­n banyak persoalan.

Korea Utara dijadualka­n menentang Jepun di Pyongyang pada hari Selasa dalam perlawanan kedua dalam perjalanan ke Piala Dunia 2026.

Namun pihak berkuasa Korea Utara “memberitah­u kami bahawa permainan tidak boleh diteruskan di Pyongyang”, kata Kozo Tashima selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan kelayakan pertama di Tokyo, yang dimenangi Jepun 1-0.

“Mereka bertanya kepada kami semasa separuh masa sama ada kami boleh menganjurk­an perlawanan di Jepun,” menurut media tempatan, memetik kenyataan Tashima.

“Saya memberitah­u mereka, ia begitu mendadak dan saya tidak boleh bersetuju dengan segera.

“Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga hari untuk menjawab. Saya memberitah­u mereka ia sukar,” katanya.

Perlawanan di Pyongyang akan menjadi yang pertama diadakan di Korea Utara untuk pasukan lelaki Jepun sejak 2011.

Tashima tidak menyatakan sebarang sebab Korea Utara mengubah pendirian mereka.

Tetapi agensi berita Jepun, Kyodo melaporkan bahawa Korea Utara tidak mahu menjadi tuan rumah perlawanan itu kerana bimbang akan jangkitan kuman daripada Jepun.

Awal minggu ini kementeria­n luar Jepun memberi amaran kepada peminat bola sepak supaya tidak cuba pergi ke Korea Utara untuk perlawanan itu.

“Seperti yang anda tahu, Korea Utara memandang buruk Jepun dan perjalanan ke sana tidak disyorkan untuk orang awam,” katanya di X.

Empat belas pegawai kerajaan akan mengiringi pasukan Jepun untuk perlawanan itu serta sebilangan kecil saluran media, menurut berita NHK.

Pusingan pertama pasukan wanita mereka untuk Sukan Olimpik Paris telah ditukar dari Pyongyang ke gelanggang neutral di Arab Saudi bulan lepas.

Hubungan dua negara itu telah lama terjejas oleh isu-isu termasuk pampasan ke atas pendudukan kejam Jepun di semenanjun­g Korea antara 1910 dan 1945 dan baru-baru ini ditambah buruk selepas Pyongyang menembak peluru berpandu ke atas wilayah Jepun.

Penculikan warga Jepun oleh ejen Korea Utara pada 1970-an dan 1980-an - yang dipaksa untuk melatih pengintip bahasa dan adat Jepun - juga telah lama menjadi perbalahan besar.

Walaupun terpencil dan miskin, Korea Utara layak ke Piala Dunia 2010.

Tetapi mereka tersingkir di peringkat kumpulan berikutan tiga kekalahan, termasuk dibelasah 0-7 oleh Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo.

Mereka juga layak pada tahun 1966 apabila mereka menewaskan Itali 1-0 dan berjaya ke suku akhir. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia