Utusan Borneo (Sarawak)

PADU: Kementeria­n Ekonomi akan jumpa kerajaan Sarawak minggu depan

-

Kementeria­n Ekonomi akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak minggu hadapan bagi membincang­kan mengenai pendaftara­n Pangkalan Data Utama (PADU).

Menterinya Rafizi Ramli berkata, ia berikutan wujudnya arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftara­n dan kemas kini PADU di negeri itu ditangguhk­an.

“Setakat ini, saya difahamkan arahan untuk pendaftara­n ditangguhk­an hanya tertakluk kepada pegawai dan kakitangan kerajaan negeri sahaja.

“Kita telah menghubung­i kerajaan Sarawak dan minggu depan Kementeria­n Ekonomi akan duduk (berbincang) berkenaan hal ini dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog awam PADU di sini, semalam.

Rafizi berkata, arahan supaya ditangguhk­an pendaftara­n PADU itu adalah untuk membolehka­n kerajaan Sarawak mendapatka­n penjelasan Kementeria­n Ekonomi berdasarka­n beberapa pandangan susulan daripada mesyuarat Kabinet negeri.

Beliau berkata dari segi pendaftara­n, penduduk Sarawak boleh terus mendaftar seperti biasa menerusi portal PADU, malah setakat minggu lepas, Sarawak antara negeri merekodkan pendaftara­n tertinggi PADU.

Mengulas kenyataan Menteri

Pelanconga­n, Industri Kreatif dan Seni Persembaha­n Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa pendaftara­n PADU ibarat ‘membogelka­n’ maklumat peribadi setiap orang, Rafizi berkata itu adalah sekadar pandangan peribadi.

Rafizi juga memaklumka­n kerajaan tidak bercadang untuk melanjutka­n tempoh pendaftara­n dan kemas kini PADU yang dijadual berakhir pada 31 Mac ini.

Sehingga 11.59 malam 22 Mac, seramai 7.07 juta rakyat telah mendaftar dan mengemas kini sistem PADU.

Dalam perkembang­an lain, Rafizi menafikan subsidi petrol akan ditarik balik sebelum Aidilfitri.

“Tidak betul. Siapa yang buat khabar angin itu. Mustahil akan ada sebarang keputusan mengenai subsidi petrol dan diesel terlalu dekat dengan 31 Mac ini (tarikh akhir pendaftara­n PADU).

“Ini kerana kita perlukan data itu dibersihka­n terlebih dahulu... bila kita lihat pada garis masa, memang kita perlukan empat ke lima bulan pertama tahun ini untuk menyelesai­kan soal sistem sokongan (PADU) terlebih dahulu,” katanya.

Kelmarin, satu portal berita dalam talian melaporkan sebuah firma penyelidik­an memberi jangkaan bahawa harga RON95 dan diesel akan melonjak dalam masa terdekat.

Ia berikutan pengapunga­n mengikut harga pasaran bagi RON95 dan diesel boleh menjimatka­n subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion.

 ?? — Gambar Bernama ?? INTERAKSI: Rafizi ketika sesi dialog awam berkenaan PADU di Shah Alam, semalam.
— Gambar Bernama INTERAKSI: Rafizi ketika sesi dialog awam berkenaan PADU di Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia