Utusan Borneo (Sarawak)

13 penyewa selamat, rumah didiami terbakar

-

Seramai 13 orang dari dua keluarga yang menyewa di sebuah rumah di Lorong 1C, Piasau Jaya 1, di sini berdepan detik cemas apabila rumah sewa mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku petang kelmarin.

Ketua Bahagian Penyiasata­n Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran terbabit kira-kira jam 5.25 petang.

“Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Bonny Martin bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sekitar enam kilometer dari balai sejurus menerima panggilan berkenaan.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu dua tingkat jenis separuh kekal berukuran 30 kali 40 kaki persegi dan telah hangus dianggarka­n 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurut Awangku Mohd Hazmin, setelah pemeriksaa­n dibuat, pasukan bomba kemudianny­a terus menjalanka­n operasi pemadaman bagi mengawal dan memadamkan api.

“Pemadaman dibuat menggunaka­n satu aliran 200 kaki, dua aliran salur bantu mula dengan sumber air dari pili bomba yang berdekatan iaitu kira-kira 300 kaki dari lokasi kejadian.

“Api dapat dikawal sekitar jam 6.10 petang dan setelah memastikan api padam sepenuhnya serta keadaan di lokasi didapati selamat, operasi ditamatkan pada jam 7.13 malam,” ujarnya.

Sementara itu, menurut maklumat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit.

“Kesemua mangsa pada masa ini tinggal di rumah keluarga terdekat buat sementara waktu.

“Kit makanan permulaan (KMP) sebanyak dua unit juga telah diserahkan kepada dua keluarga terbabit,” jelasnya.

 ?? ?? KEBAKARAN: Sebuah rumah di Lorong 1C, Piasau Jaya 1 yang musnah akibat kebakaran petang kelmarin.
KEBAKARAN: Sebuah rumah di Lorong 1C, Piasau Jaya 1 yang musnah akibat kebakaran petang kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia