Utusan Borneo (Sarawak)

NUBE seru PM, ahli Parlimen bantu atasi kesukaran pekerja bank B40, M40

-

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menyeru Perdana Menteri dan ahli Parlimen campur tangan bagi menyelesai­kan kesukaran yang dihadapi pekerja bank golongan B40 dan M40 termasuk pembayaran gaji sebulan sebagai Bantuan Perayaan.

Setiausaha Agungnya J Solomon berkata, integriti 15,000 pekerja bank kumpulan B40 dan M40, bersama kira-kira 50,000 ahli keluarga mereka, dicabar oleh bank-bank Malaysia dalam isu pembayaran gaji sebulan sebagai Bantuan Perayaan.

“Dengan 75 peratus ahli kami beragama Islam dan bulan suci Ramadan semakin hampir ke penghujung­nya, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang dibayangi kesedihan.

“Dasar tidak adil bankbank mewah dan berkuasa menafikan pekerja B40 dan M40 hak perayaan mereka yang sah selepas sebulan berpuasa,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Menurut J Solomon, isu pembayaran gaji sebulan sebagai Bantuan Perayaan itu telah diketengah­kan di Parlimen pada 14 Mac 2024 oleh Ahli Parlimen Pendang, Jelutong, Kuala Krai dan Sungai Petani yang merayu Menteri Sumber Manusia untuk menangani pertikaian itu.

Katanya, NUBE berterima kasih kepada ahli-ahli parlimen terbabit dan sebagai tindak balas, menteri menyatakan di Parlimen bahawa kedua-dua pihak akan mengadakan mesyuarat perdamaian di Jabatan Perhubunga­n Perusahaan (IRD).

“Bagaimanap­un, tindakan tergesa-gesa pihak bank merujuk perkara itu kepada IRD adalah strategi untuk menangguhk­an penyelesai­an melalui prosiding mahkamah yang berpanjang­an.

“Sekiranya menteri benar-benar komited terhadap kebajikan pekerja, beliau akan sama ada secara langsung mengambil bahagian dalam usaha perdamaian atau memastikan bahawa pertikaian itu diselesaik­an dengan sewajarnya oleh pegawai yang berkaitan,” kata beliau.

J Solomon mendakwa pada mesyuarat perdamaian pada 21 Mac, pegawai IRD, termasuk Pengarah Wilayah Persekutua­n, pada dasarnya bertindak sebagai ‘posmen.’

Beliau berkata, walaupun usaha NUBE untuk membetulka­n maklumat mengeliruk­an bank dengan bukti fakta, pegawai IRD membuat kesimpulan dengan menyatakan mereka akan mengumpulk­an maklumat dan merujuk kepada Putrajaya kerana bank terbabit tetap bertegas.

“Kami menyeru Khazanah, Permodalan Nasional Berhad, dan KWSP untuk menasihati bank-bank di bawah bidang kuasa mereka untuk menghentik­an tindakan menindas terhadap pekerja.

“Adalah menjadi harapan kami agar Perdana Menteri dan ahli parlimen dapat campur tangan bagi menyelesai­kan kesusahan yang dihadapi oleh kakitangan bank B40 dan M40,” tegasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia