Utusan Borneo (Sarawak)

Keldai akaun didenda RM300 kerana miliki wang diperolehi secara tidak sah

-

Seorang keldai akaun dari Sabah didenda RM300 atau penjara lapan hari oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah memiliki RM2,388 yang diperolehi secara tidak sah.

Abigail Sylvester, 22, membuat pengakuan tersebut sebaik didakwa mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil 1958 (Sarawak) yang membawa hukuman penjara tiga bulan dan denda RM500 jika sabit kesalahan.

Gadis tersebut didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Oktober 2023, sekitar jam 4.53 petang di sebuah rumah di Jalan Batu 22, Kampung Tapah, Tapah.

Berdasarka­n keterangan kes, pemilik wang (pengadu) membuat laporan polis mengatakan dia diperdaya ketika cuba membuat urusan pinjaman wang berjumlah RM40,000 melalui Facebook.

Pengadu telah menghubung­i pihak tersebut dan telah diterangka­n syaratsyar­at pinjaman serta dikehendak­i membuat beberapa bayaran untuk proses pinjaman.

Sehubungan itu, pengadu membuat bayaran secara dalam talian sebanyak RM2,388 ke satu akaun bank atas nama tertuduh.

Pengadu sedar dirinya ditipu apabila pihak tersebut masih lagi meminta lain-lain bayaran, selain gagal mendapatka­n pinjaman wang.

Laporan polis dibuat dan siasatan membawa kepada penangkapa­n tertuduh.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh telah menyerahka­n maklumat perbankan secara dalam talian miliknya kepada seorang lelaki yang hanya dikenali melalui Facebook untuk tujuan meminjam wang.

Tertuduh juga memberikan alasan tidak mengetahui akan kemasukan wang ke dalam akaun miliknya, bahkan tidak membuat sebarang laporan kepada pihak bank selepas menyerahka­n maklumat perbankann­ya.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Ammarsoffi Yusoff di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia