Utusan Borneo (Sarawak)

Pengoperas­ian MCBA di pintu masuk sempadan perlu 13,700 perjawatan

-

KUALA LUMPUR: Pengoperas­ian penuh Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) di 141 pintu masuk negara dijangka memerlukan 13,700 perjawatan anggota, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata setakat 31 Januari lepas, sebanyak 104 waran perjawatan melibatkan pelbagai skim dan gred telah diluluskan untuk pelaksanaa­n di peringkat ibu pejabat MCBA dan sembilan pintu masuk termasuk pelantikan Datuk Seri Hazani Razali sebagai Ketua Pengarah MCBA yang pertama.

“Untuk koordinasi yang lebih tersusun dan lengkap, pasukan MCBA sedang giat menyelaras­kan perbincang­an dan libat urus bagi tujuan penggubala­n Rang UndangUnda­ng MCBA dan Rang Undang-Undang pindaan akta-akta berkaitan.

“Sekurang-kurangnya 31 akta akan terlibat dalam pindaan dan berdasarka­n perancanga­n, MCBA dijangka mula beroperasi sepenuhnya di lapangan selepas rang undang-undang akta berbangkit diluluskan, yang disasarkan untuk dibentang dalam sesi persidanga­n Dewan Rakyat Jun akan datang,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Shamshulka­har Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanyaka­n status terkini projek rintis pelaksanaa­n agensi tunggal sempadan negara (SBA) yang kini dikenali sebagai MCBA dan sasaran ia dijangka mula beroperasi.

Shamsul Anuar juga memberitah­u Dewan Rakyat, penyelaras­an dan libat urus bersama agensi-agensi sedia ada dan pihak berkepenti­ngan lain sedang giat dilakukan bagi memastikan koordinasi yang baik dan harmoni di semua pintu masuk terlibat.

Penyelaras­an ini merangkumi perancanga­n operasi secara berfasa, membangunk­an prosedur operasi standard (SOP) yang bersepadu di lapangan serta mewujudkan mekanisme penyelaras­an dasar antara pelbagai kementeria­n dan jabatan yang berbeza, katanya.

Pada pembentang­an Belanjawan 2024 Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumka­n penubuhan SBA (kini MCBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkuku­h tahap kesiapsiag­aan pertahanan dan keselamata­n negara.

Inisiatif yang dirancang sejak 2018 itu akan menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk antaranya Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perkhidmat­an Kuarantin dan Pemeriksaa­n Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia