Utusan Borneo (Sarawak)

Padang bukan punca kekalahan Malaysia kepada Oman: Darren

-

KUALA LUMPUR: Penyerang Harimau Malaya Darren Lok percaya bahawa padang bukanlah faktor penentu kekalahan 0-2 Malaysia menentang Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini malam kelmarin.

Pemain Sabah FC berusia 34 tahun itu menegaskan bahawa keadaan padang tidak seharusnya dijadikan alasan kerana kedua-dua pasukan menghadapi situasi yang sama.

“Ia (padang) tidak begitu teruk, kami tidak boleh menggunaka­n padang sebagai alasan, kedua-dua pasukan terpaksa bermain di atas padang itu dan malam ini (malam tadi) bukanlah malam kami, Oman mendapat kemenangan dan kami kecewa.

“Sekarang, kami perlu bangkit dan fokus pada perlawanan Jun ini kerana perlu memenangi dua perlawanan lagi. Kini, masanya untuk membetulka­n keadaan dan kembali dengan sedikit keyakinan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Pada masa sama, Darren meluahkan bahawa masa tidak memihak kepada Malaysia semasa dua perlawanan menentang Oman, termasuk kekalahan 0-2 di Muscat minggu lepas, berikutan ketiadaan perlawanan kompetitif hampir dua bulan kerana Liga

Malaysia (Liga-M) masih dalam fasa pramusim.

Sementara itu, penyerang naturalisa­si Romel Morales percaya Malaysia masih mempunyai peluang untuk merebut dua tempat teratas kumpulan bagi mengesahka­n tempat dalam kelayakan Piala Asia 2027 dan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 27 tahun itu berkata yang penting ialah pasukan harus terus berusaha keras menjelang baki dua perlawanan pada Jun.

Kekalahan malam kelmarin merupakan yang kedua buat Malaysia, sekali gus menyukarka­n untuk mencapai misi layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.

Malaysia kekal di tempat ketiga Kumpulan D dengan enam mata terkumpul, manakala Kyrgyzstan mendahului dengan sembilan mata selepas menewaskan Taiwan 5-1, diikuti Oman yang menghuni tangga kedua, juga sembilan mata manakala Taiwan di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahka­n tempat dalam Piala Asia 2027, manakala dua pasukan terbawah akan bermain di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia