Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Miri nafi kejadian samun bersenjata di Vista Perdana

-

Polis menafikan kes samun bersenjata di Vista Perdana di sini seperti yang tular di media sosial, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya mengesahka­n telah menerima rakaman video bersama mesej yang menyatakan terdapat kejadian samun berlaku di sebuah rumah di kawasan berkenaan yang tular di dalam media sosial.

“Hasil semakan mendapati rakaman video yang ditularkan merupakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes yang telah dilaporkan di Hilltop Utama pada 20 Mac lalu di mana kes ini masih disiasat oleh pihak polis.

“Tiada apa-apa kejadian jenayah juga yang dilaporkan di kawasan Vista Perdana setakat ini seperti mana dinyatakan dalam mesej tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Sehubungan itu, Alexson menasihati masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu yang belum disemak kesahihan di media sosial.

“Tindakan seperti ini boleh menimbulka­n kerisauan dan kegusaran di kalangan masyarakat tempatan.

“Selain itu, masyarakat juga diminta untuk sentiasa peka dengan persekitar­an masing-masing serta meningkatk­an sistem kawalan keselamata­n di kediaman seperti pemasangan CCTV ataupun sistem alat penggera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Alexson menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan itu untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubung­i talian 085433730 bagi menyalurka­n maklumat.

Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai keprihatin­an masyarakat terhadap keselamata­n dan persekitar­an di daerah Miri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia