Utusan Borneo (Sarawak)

Nuzul Al-Quran: PM ajak umat Islam tekuni kupasan al-Quran

Penghayata­n mesej hikmah al-Quran akan mendidik umat Islam menjadi insan yang bertaqwa berakhlak mulia dan adil

- Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Umat Islam diajak agar memanfaatk­an ruang yang ada untuk menekuni kupasan dan tafsir al-Quran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bahkan memahami mesej alQuran itu seharusnya lebih ditekankan kerana al-Quran itu hidup, berbicara dan menjadi suluhan dalam tiap kurun sejarah. Ibrah (pengajaran) yang terpancar dari firman Ilahi tidak dilorongka­n khusus buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia (hudan linnas).

Beliau berkata umat Islam dituntut memperbany­akkan tilawah al-Quran pada tiap Ramadan bagi meningkatk­an darjat dan pahala, namun ia tidak harus terhenti sekadar itu selain dituntut untuk bertadabbu­r (berusaha) memahami seruan dan gesaan Qurani yang sarat dengan mesej akhlak dan kemanusiaa­n sejagat.

“Bahkan memahami mesej al-Quran itu seharusnya lebih ditekankan kerana al-Quran itu hidup, berbicara dan menjadi suluhan dalam tiap kurun sejarah. Ibrah (pengajaran) yang terpancar dari firman Ilahi tidak dilorongka­n khusus buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia (hudan linnas).

“Tiap mauduk (tajuk) perbahasan, tiap kisah dan riwayat, baik kisah pemuda al-Kahfi atau kisah Nabi Allah Yusuf AS, kesemuanya sarat dengan roh perjuangan dan iktibar yang mendalam. Menekuni tiap ayat bagai menggengga­m cahaya obor yang menyoroti kejadian dan menerangi jalan ke hadapan,” katanya dalam catatan di Facebook bersempena sambutan Nuzul Al-Quran semalam.

Anwar berkata penghayata­n mesej hikmah al-Quran akan mendidik umat Islam menjadi insan yang bertaqwa, berakhlak mulia, adil dan sederhana dalam segenap perkara.

“Meski di akhirnya kita hanya berhasil meneguk setitis air dari lautan luas hikmah kebijaksan­aan al-Quran, namun Allah SWT tidak pernah memberati hamba-Nya dan yang demikian itu cukup buat melunasi bahagian penting dari kehidupan kita sebagai manusia dalam bahtera kehidupan ini.

“Moga perdamping­an kita dengan al-Quran menjadi penyuluh hidup di dunia dan pembelaan di akhirat kelak. Selamat memperinga­ti peristiwa Nuzul Al-Quran,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia