Utusan Borneo (Sarawak)

Cuaca panas: Petani di Kelantan pasrah, tiada hasil padi dituai

-

Kebanyakan petani di Kelantan hanya mampu berserah dan reda apabila hasil tanaman mereka rosak teruk dan tidak dapat dituai, berikutan cuaca panas dan kering yang dialami negara ketika ini.

Tinjauan Bernama mendapati antara kawasan tanaman padi yang terjejas teruk ialah Kota Bharu Utara dan Selatan, terutama di sekitar Ketereh yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air daripada pam Kemubu.

Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n dan Keselamata­n Kampung Persekutua­n (JPKKP) Mukim Dusun Rendah Ketereh Azman Jusoh berkata aduan yang diterima memaklumka­n, terdapat sebahagian padi seluas kira-kira 40.4 hektar itu berusia dua bulan dan memerlukan air yang mencukupi untuk proses tumbesaran.

“Krisis bekalan air yang serius sejak bulan lalu bukan hanya menyebabka­n padi terbantut, bahkan menjadi kemerah-merahan dan petani berdepan kerugian sehingga puluhan ribu ringgit.

“Kawasan ini bergantung sepenuhnya kepada pam Kemubu namun berdepan dengan masalah air yang kritikal, jadi usaha mendapatka­n sumber air lain juga menemui jalan buntu,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Sementara itu, Ketua Unit Kampung Lepah bagi PPK Cherang Rotan di Pasir Puteh Che Satar Mat Din, 64, pula berkata sebahagian 161.8 hektar padi di kawasannya juga berdepan masalah sama dan hampir 24.2 hektar padi telah mati, kerana tidak mendapat bekalan air yang secukupnya.

“Sebahagian lagi kawasan masih dalam keadaan bertahan, namun air sungai Kampung Berangan yang disedut petani sudah kering sejak minggu lepas dan kemudahan pam sudah tidak dapat lagi digunakan.

“Jika keadaan sama masih berterusan, mungkin dalam tempoh dua minggu lagi semua padi di kawasan ini tidak dapat diselamatk­an juga,” katanya yang turut mengalami kerugian apabila 16.1 hektar padi miliknya turut terkesan akibat cuaca panas.

Beliau yang mengusahak­an tanaman padi sejak 30 tahun lalu, berharap Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dapat mengambil langkah lebih proaktif pada musim akan datang, bagi mengelak masalah sama berulang sekali gus membantu petani meningkatk­an pengeluara­n hasil padi di negeri ini.

Sebelum ini, Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorolog­i Malaysia (MetMalaysi­a) Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata keadaan cuaca panas dan kering yang dialami negara ketika ini dijangka mula berkuranga­n pada awal April apabila fasa Peralihan Monsun dijangka berlaku dalam tempoh itu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? KERING KONTANG: Keadaan tali air sawah padi sekitar Ketereh kering, dekat Kota Bharu semalam susulan kekurangan bekalan air yang disalurkan ekoran musim kemarau yang melanda ketika ini.
— Gambar Bernama KERING KONTANG: Keadaan tali air sawah padi sekitar Ketereh kering, dekat Kota Bharu semalam susulan kekurangan bekalan air yang disalurkan ekoran musim kemarau yang melanda ketika ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia