Utusan Borneo (Sarawak)

HPCC bernilai RM18 juta akhirnya siap, kata Dr Sim

-

Pusat Penjagaan Hospis dan Paliatif (HPCC) bernilai RM18 juta iaitu kemudahan hospis diusahakan Kuching Life Care Society, akhirnya siap baru-baru ini.

Timbalan Premier juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, selepas mengambil masa 20 tahun untuk membinanya, ia kini siap atas bantuan dan sokongan pelbagai pihak.

“Penyiapan ini bukan sekadar enam bintang, tetapi mempunyai 58 katil untuk kemudahan hospis (setanding dengan standard negara barat).

“Rakyat kita di Sarawak juga layak untuk mendapat rawatan paliatif (khasnya pesakit kanser) untuk kemudahan hari-hari terakhir hidup mereka.

“Beginilah kemudahan hospis yang berjaya dibina selepas 20 tahun oleh orang ramai daripada masyarakat, kontraktor, subkontrak­tor, perunding, profesiona­l perubatan hospis, kumpulan sokongan dan kepimpinan Kuching Life Care Society yang berjaya menyiapkan kemudahan bernilai RM18 juta,” katanya menerusi catatan Facebook beliau, semalam.

Menurut Dr Sim, meskipun projek yang terletak di Desa Wira Batu Kawa itu telah siap, namun kemudahan hospis itu masih memerlukan beberapa juta.

“Saya amat bangga melihat ramai orang (termasuk luar Sarawak) yang begitu proaktif dan inovatif dalam membantu mengumpul dana.

“Mari kita semua bersama melakukan peranan masingmasi­ng, semua derma anda adalah sama penting untuk kemudahan hospis enam bintang pertama kita, yang bukan berasaskan keuntungan,” tegasnya.

Beliau katanya, bangga dengan usaha dijalankan pertubuhan itu untuk penjagaan kanser di Sarawak, yang amat memerlukan pelbagai aspek bantuan sama ada dari kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Kuching Life Care Society dan swasta yang sama memainkan peranan mereka.

 ?? — Gambar Facebook Dr Sim Kui Hian ?? SIAP: Dr Sim (empat kanan) bersama wakil daripada Kuching Life Care Society merakam kenangan di hadapan bangunan Pusat Penjagaan Hospis dan Paliatif yang baharu siap semasa lawatan beliau, baru-baru ini.
— Gambar Facebook Dr Sim Kui Hian SIAP: Dr Sim (empat kanan) bersama wakil daripada Kuching Life Care Society merakam kenangan di hadapan bangunan Pusat Penjagaan Hospis dan Paliatif yang baharu siap semasa lawatan beliau, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia