Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Thailand serbu pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian terbesar

-

Polis Thailand menyerbu pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian terbesar dan menahan 63 individu selepas beberapa siri operasi di Nakhon Si Thammarat, wilayah selatan Thailand pada Khamis.

Pembantu Komander Polis Lt Jen Polis Thatchai Pitaneelab­oot yang ditugaskan untuk menggabung­kan beberapa agensi dalam operasi bersepadu ini berkata menerusi siasatan proaktif yang dilaksanak­an polis dengan kerjasama Pejabat Suruhanjay­a Penyiaran dan

Telekomuni­kasi Nasional (NBTC) dan Jabatan Siasatan Khas (DSI) membongkar pergerakan kumpulan pusat panggilan di wilayah itu.

Beliau berkata lokasi pertama pergerakan itu ialah di sebuah hotel di Daerah Kecil Chandi, Daerah Chawang, Nakhon Si Thammarat dan dua lagi lokasi adalah rumah-rumah di Daerah Chawang.

“Siasatan diluaskan ke sebuah gudang menjual barangan Jepun terpakai di Daerah Na Bon, Nakhon Si Thammarat di mana suspek dan lebih banyak bahan bukti ditemukan.

Penyiasata­n itu juga mendapati terdapat hubungan bahawa tempat itu digunakan sebagai pangkalan untuk sebuah sindiket panggilan antarabang­sa. Hasilnya 63 suspek diberkas dengan 12 daripadany­a adalah rakyat Thailand dan 51 lagi warganegar­a dari negara lain,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata polis juga menyita barangan termasuk 223 komputer, telefon bimbit, 1,300 kad SIM keldai, 312 penghala dan 80 buku akaun bank.

Thatchai berkata siasatan awal mendapati kewujudan sindiket jenayah transnasio­nal ini yang telah bertapak di wilayah selatan itu.

“Kumpulan ini dianggap sebuah organisasi jenayah berskala besar. Pada masa ini atase polis China dan Jepun turut serta menyiasat kegiatan organisasi jenayah ini,” katanya.

Nakhon Si Tammarat terletak kira-kira 610 kilometer ke selatan Bangkok. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia