Utusan Borneo (Sarawak)

Arteta ketepikan hubungan baik dengan Guardiola demi mengejar gelaran juara EPL

-

LONDRES: Jurulatih Arsenal, Mikel Arteta berkata, hubunganny­a dengan pengurus Manchester City, Pep Guardiola ‘terpaksa berubah’ apabila kedua-dua kelab bersaing untuk merebut gelaran Liga Perdana.

Dua kelab itu akan bertemu di Etihad pada hari Ahad dengan hanya satu mata memisahkan City, pasukan tangga ketiga daripada pendahulu liga Arsenal.

Arteta berkhidmat sebagai pembantu Guardiola selama tiga setengah tahun di City sebelum memulakan tugas pengurusan pertamanya di Emirates pada 2019.

Di bawah Arteta, Arsenal telah kembali bersaing untuk merebut gelaran utama, tetapi masih belum memenangi Liga Perdana sejak 2004.

“Ia perlu berubah,” kata Arteta pada sidang akhbar pra-perlawanan­nya tentang perkembang­an hubunganny­a dengan Guardiola.

“Kekaguman saya dan perasaan saya terhadapny­a semestinya tidak berubah. Pada pendapat saya, dia jurulatih terbaik di dunia sejauh sebatu dan dia antara orang yang paling baik yang saya temui dalam bola sepak.

“Sudah tentu dia ialah salah seorang rakan sekerja yang saya berkongsi paling banyak keseronoka­n dan gelak ketawa. Itu akan kekal selama-lamanya.”

Berbeza dengan kekurangan kejayaan Arsenal dalam tempoh dua dekad yang lalu, City berhasrat untuk menulis buku rekod sekali lagi di bawah Guardiola dengan menjadi pasukan pertama yang pernah memenangi kejuaraan liga utama Inggeris itu empat kali berturut-turut.

City telah memenangi lima Liga Perdana dalam tempoh enam tahun lalu dan kekal pada landasan untuk mengulangi kemenangan tiga gelaran musim lalu.

“Mereka telah meningkatk­an tahap dalam liga ini dan bola sepak secara umumnya, ke tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini,” tambah Arteta.

“Itulah keindahan sukan ini kerana ia menjadikan kita lebih baik dan lebih mencabar diri. Kita perlu mengikuti rentak itu dan itulah yang kami cuba lakukan.

“Ia perlawanan yang besar untuk kedua-dua pasukan. Ia akan memberikan kami rangsangan besar jika kami pergi ke sana dan memenangin­ya.”

City kehilangan gandingan pertahanan utama John Stones dan Kyle Walker selepas mereka mengalami kecederaan semasa tugasan antarabang­sa bersama England.

Bukayo Saka dari Arsenal, Gabriel Martinelli dan Gabriel Magalhaes semuanya cedera daripada tugasan antarabang­sa tetapi Arteta berharap ketiga-tiga mereka akan cergas untuk beraksi pada hari Ahad. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia