Utusan Borneo (Sarawak)

Gadis Indonesia kendali mesin perjudian didenda

-

Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhka­n hukuman denda RM10,000 atau lima bulan penjara terhadap seorang gadis Indonesia yang mengaku bersalah mengendali­kan mesin perjudian berupa sebuah telefon pintar, Januari lalu.

Yani, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan sebaik dituduh mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Seksyen itu membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Yani didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Kampung Tabuan Hilir di sini sekitar jam 12.20 tengah malam pada 18 Januari 2024.

Mengikut keterangan kes, sepasukan polis yang melaksanak­an Ops Dadu pada hari kejadian menyerbu premis tersebut susulan disyaki terdapat kegiatan aktiviti judi dalam talian dengan menggunaka­n telefon pintar.

Semasa serbuan, polis menangkap Yani dan merampas peralatan yang digunakan untuk menjalanka­n aktiviti tersebut, antara lainnya adalah seunit telefon pintar, seunit mesin cetak mini, sekeping kertas cetak mini serta wang tunai RM122.

Hasil siasatan mendapati Yani telah menjalanka­n aktiviti penjualan judi dalam talian tanpa lesen dengan menggunaka­n telefon pintar.

Laporan pakar judi turut mengesahka­n barang kes yang dirampas iaitu telefon pintar sebagai alat perjudian seperti didefinisi­kan di bawah Seksyen 2 ARJT, sementara wang tunai dirampas merupakan hasil penjualan judi dalam talian tersebut.

Pegawai Pendakwa Inspektor Ammarsoffi Yusoff melakukan pendakwaan sementara Yani tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia