Utusan Borneo (Sarawak)

Piala Thomas: Penyertaan Tze Yong dibincang semula

-

Status pemain perseorang­an lelaki negara Ng Tze Yong kembali mencetuska­n resah apabila dikhabarka­n mungkin tidak dapat bersama skuad negara ke Piala Thomas 2024 di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.

Ia berikutan makluman daripada Pengarah Kejurulati­han Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky yang mengatakan pemain di ranking ke-18 perlu menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) semalam bagi menentukan kecergasan­nya.

“Saya akan bincang dengan Michelle Chai (Pengarah Pentadbira­n ABM). Setakat ini tidak boleh cakap dia tak pergi (Piala Thomas) sebab kita sebagai jurulatih dan pihak pengurusan sudah buat yang termampu.

“Kita belum dapat apaapa maklumat (dari MRI dan doktor) kerana pada perjumpaan lepas, jurulatih kata Tze Yong mahu main. Hendrawan beritahu doktor di Institut Sukan Negara (ISN) sendiri keliru dengan situasi (kecederaan) Tze Yong sekarang,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di ABM Bukit Kiara semalam.

Tze Yong disahkan mengalami kecederaan belakang pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, pada Februari lepas dan telah menjalani pembedahan.

Pemain berusia 23 tahun itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China baru-baru ini sekali gus terlepas peluang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanap­un pada minggu lepas, BAM mengumumka­n Tze Yong antara barisan pemain perseorang­an lelaki negara yang akan menggalas tugas di Piala Thomas.

Rexy berkata jika penukaran pemain dibenarkan, tempat Tze Yong mungkin digantikan dengan seorang lagi pemain negara Eogene Ewe yang menduduki ranking ke-201 dunia.

“Setakat ini kita ada lima pemain namun dalam situasi sekarang Eogene Ewe merupakan paling terbaik untuk menggantik­an tempat itu. Namun pengalaman saya, setiap pemain dalam pasukan perlu bersedia untuk bermain terutama pemain perseorang­an,” katanya.

Sementara itu, Rexy memaklumka­n gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei akan memulakan latihan Piala Thomas hari ini manakala Nur Izzudin Rumsani menyertai pasukan esok.

BAM sebelum ini menyenarai­kan Lee Zii Jia, Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Muhammad Haikal Nazri bagi saingan Piala Thomas 2024.

Malaysia yang diletak selaku pilihan kelima kejohanan edisi 2024 itu diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria bagi saingan Piala Thomas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia