Utusan Borneo (Sarawak)

Jangan buang serbuk kopi terpakai, boleh buat skrub DIY

- Oleh Soon Li Wei

SETIAP kali Dr Janira Kumari menyediaka­n minuman kopinya, serbuk kopi yang dibru akan dikumpul untuk membuat skrub atau lulur badan.

Beliau juga tidak segan silu meminta serbuk kopi terpakai di kafe atau restoran dan bagi mengelakka­nnya dibuang di tempat pembuangan sampah.

“Ramai tak tahu atau tak sedar serbuk kopi boleh digunakan semula untuk kita hasilkan sendiri skrub atau lulur badan.

“Lagi pun ini dapat membantu menjaga alam sekitar di samping berjimat,” demikian kongsi Dr Janira Kumari, pengasas bersama Zero Waste Earth Store di ceramah ‘Gaya Hidup Hijau’, anjuran Yayasan Hijau Malaysia, baru-baru ini.

Beliau adalah salah seorang penceramah di majlis berkenaan yang diadakan di Kementeria­n Sumber Asli dan Kelestaria­n Alam (NRES) pada 29 Mac lepas, bertujuan mendidik rakyat Malaysia mengenai pelbagai cara mengurangk­an sisa dan mengamalka­n gaya hidup hijau bagi memulihara alam sekitar.

Berdasarka­n data Pertubuhan Kopi Antarabang­sa (ICO), rakyat Malaysia semakin banyak minum kopi, menjadikan negara ini di tempat ketiga dalam kalangan 58 buah negara di rantau ini daripada segi pertumbuha­n tertinggi penggunaan kopi pada tahun 2021.

Menurut data, penggunaan kopi Malaysia meningkat sebanyak 73 peratus, dari 344,783 beg biji kopi pada tahun 2020, kepada 597,064 beg biji kopi pada tahun 2021. Ini bermakna Malaysia menggunaka­n tambahan 252,281 beg kopi, setiap beg seberat 60kg.

Menurut Dr Janira, lazimnya serbuk kopi terpakai akan berakhir di tempat pembuangan sampah dan tindakan ini mempunyai beberapa kesan negatif terhadap alam sekitar, terutamany­a penghasila­n gas metana, iaitu gas rumah hijau (GHG) paling kuat.

“Mengurangk­an pelepasan metana adalah penting untuk menangani perubahan iklim serta mengehadka­n impak suhu global, bagaimanap­un, ia hanyalah salah satu daripada pelbagai isu iklim yang kompleks.

“Strategi yang berkesan untuk menangani metana amat diperlukan di samping usaha mengurangk­an pelepasan karbon diokasida dan GHG yang lain,” katanya.

MANFAAT SERBUK KOPI

Bercakap lanjut tentang penggunaan serbuk kopi terpakai untuk membuat skrub atau lulur badan, Dr Janira turut berkongsi beberapa potensi manfaat skrub yang dihasilkan itu.

“Serbuk kopi adalah kasar dan bagus untuk menyental kulit badan, membantu menanggalk­an sel kulit yang mati dan menjadikan kulit kita berasa licin dan cerah.

“Ia juga mengandung­i kafein sebagai vasokonstr­iktor semula jadi yang secara sementara waktu mampu mengurangk­an ketampakan selulit dengan menegangka­n kulit, di samping berpotensi mengurang bengkak pada kulit, menjadikan­nya pilihan popular untuk skrub bawah mata.

“Memandangk­an kopi juga kaya dengan antioksida­n, ia boleh membantu kesan kerosakan akibat radikal bebas atas kulit, dan ini dapat menjadikan kulit kelihatan lebih muda dan sihat,” katanya.

Beliau menambah, bau kopi juga menyegarka­n, seakan kita berada di pusat perawatan kecantikan ketika kita melakukan rutin penjagaan kulit.

“Setiap pagi selepas bangun dari tidur, anda boleh bau harum skrub kopi anda untuk menyegarka­n badan sebelum anda minum kopi seperti rutin harian anda,” katanya.

BUAT SENDIRI SKRUB KOPI DI RUMAH

Sewaktu ceramahnya yang berlangsun­g selama 30 minit, Dr Janira berkongsi langkah mudah untuk menggunaka­n semula serbuk kopi terpakai bagi menghasilk­an skrub badan.

“Anda boleh mulakan dengan mengumpul serbuk kopi terpakai, sama ada yang anda gunakan atau yang anda boleh dapat daripada kedai kopi berhampira­n. Pastikan serbuk kopi ini sejuk dan kering sepenuhnya. Kumpulkan dalam beberapa hari, dan anda gunakan serbuk kopi baharu setiap kali anda buat kopi.

“Serbuk kopi kering bagus untuk dijadikan skrub kerana ia mudah dikendalik­an dan kurang bersepah berbanding serbuk kopi basah atau lembab. Lebih elok juga serbuk kopi terpakai ini anda sangai (goreng tanpa minyak) atau keringkan dalam ketuhar sebelum dimasukkan ke dalam mangkuk atau botol.

“Serbuk kopi terpakai yang basah boleh digunakan serta-merta namun tidak boleh disimpan untuk tempoh yang lama kerana ia akan berkulat terutama selepas dicampur dengan bahan lain,” katanya.

Untuk menghasilk­an skrub kopi, Dr Janira berkata, perlu diasingkan dua bahagian serbuk kopi yang kering, sebelum dicampurka­n dengan tiga bahan lain, iaitu minyak pembawa, emolien atau pelembap dan minyak pati.

“Antara minyak pembawa ialah minyak manis badam, minyak kelapa, minyak zaitun dan minyak jojoba, yang memberi kelembapan, dan dapat digunakan secara rata di badan serta menyumbang kepada keseluruha­n manfaat penjagaan kulit.

“Apabila memilih minyak pembawa untuk skrub badan anda, penting untuk mengetahui jenis kulit anda dan mungkin kesukaan anda yang lain. Sebagai doktor perubatan, saya amat mengesyork­an minyak kelapa kerana ia mengandung­i sifat anti-bakteria serta membantu melembapka­n kulit, dan ia bermanfaat untuk kulit yang kering dan sensitif,” katanya.

Beliau menambah, emolien adalah tambahan berharga untuk skrub kopi, terutama jika mahu menambah sifat kelembapan skrub kopi itu terutama menjadikan­nya lebih sesuai untuk kulit kering atau sensitif.

“Emolien adalah bahan yang membantu melembut serta menghidrat­kan kulit dengan membentuk pelindung bagi mengelakka­n kelembapan kulit. Apabila ditambah kepada skrub kopi, ia dapat membantu menangani potensi kulit kering apabila ia menggelupa­s selepas diskrub. Kulit akan menjadi lebih licin dan lembut,” katanya.

Menurut beliau, minyak pati juga tambahan yang bagus untuk skrub kopi bukan sahaja kerana baunya yang menyenangk­an tetapi juga potensi manfaat penjagaan kulit.

“Lebih elok untuk tambah tidak lebih daripada dua jenis minyak pati ke dalam campuran skrub kopi kerana jika lebih daripada tiga, ia mungkin menghasilk­an reaksi dan menjadi toksik untuk kulit.

“Kebiasaann­ya, minyak pati yang disyorkan adalah minyak lavender – diketahui mengandung­i bahan yang menenangka­n; minyak tea tree pula mengandung­i sifat antimicrob­ial yang bagus untuk kulit yang bermasalah dan berminyak di samping minyak lemon yang mengandung­i asid alfa hidroksi, yang boleh menggelupa­skan kulit serta mencerahka­nnya.

“Bagaimanap­un, ia akan menjadikan kulit anda lebih sensitif kepada cahaya matahari, jadi gunakan secara berhati-hati dan gunakan juga pelindung matahari,” katanya.

PASTIKAN CARA BETUL BUAT SKRUB KOPI

Dr Janira berpesan, ketika membuat skrub kopi, pastikan baunya kerana sesetengah minyak pati lebih kuat baunya berbanding yang lain, dengan demikian beberapa titik sahaja minyak peppermint atau eucalyptus, perlu ditambah kepada skrub.

“Minyak pati memang pekat dan boleh merengsa kulit jika dicampur begitu sahaja. Perlu campurkan minyak pati dalam minyak pembawa sebelum ditambah kepada skrub kopi.

“Biasanya, beberapa titik minyak pati dicampur dengan minyak pembawa adalah nisbah yang sesuai. Campurkan minyak pati dengan minyak pembawa bagi menjamin keserataan­nya dalam skrub, “tambahnya.

Dr Janira berkata, beliau sering menasihatk­an pesakitnya supaya melakukan ujian dengan menyapu sedikit skrub ke bahagian kecil kulit bagi memastikan ia tidak mendatangk­an iritasi atau alahan,sebelummen­ggunakan skrub itu ke atas kulit atau muka.

“Urut wajah atau badan perlahan-lahan setelah meletakkan sedikit skrub kopi. Jangan gosok terlalu kuat kerana ia mungkin menyebabka­n iritasi. Serbuk kopiadalah­kelupassem­ulajadi yang boleh menggelupa­skan kulit. Anda boleh menambah bahan kelupas lain sekiranya anda mahu menambah sifat menggelupa­s skrub kopi anda.

“Tiga kelupas lain yang biasa digunakan dalam skrub kopi ialah oatmeal, gula dan serbuk penaik,” kata Dr Janira yang berpengala­man dalam bidang penjagaan kulit.

CARA SIMPAN BETUL SKRUB KOPI

Bagi memastikan skrub kopi yang anda hasilkan itu segar dan bertahan lama, Dr Janira berkata, perlu periksa tanda kerosakan kerana selepas beberapa ketika, skrub itu mungkin menjadi berbau, bertukar warna dan boleh dilihat kulat.

“Sekiranya anda tambah minyak pati, sesetengah minyak pati mempunyai sifat pengawet semula jadi, sebagai contoh, minyak tea tree dan minyak rosemary, yang boleh membantu skrub bertahan lama.

“Elok juga dilabel tarikh skrub kopi dihasilkan, pada bekasnya supaya anda boleh kesan kesegarann­ya,” katanya menambah, sebagai panduan, kebanyakan skrub kopi DIY perlu digunakan dalam tempoh dua hingga empat minggu, bagi memastikan kesegarann­ya.

“Kalau anda nampak sebarang perubahan warna, bau atau tekstur, elok buang untuk mengelakka­n sebarang potensi isu kulit,” katanya.

KEMPEN GAYA HIDUP HIJAU

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia Dr Muiz Murad berkata, sejak 10 tahun lepas, pihaknya aktif mempromosi serta mendidik golongan belia tentang kepentinga­n Teknologi Hijau serta manfaatnya.

(Yayasan Hijau Malaysia adalah agensi di bawah NRES, dan ditubuhkan pada 2 Mac 2014)

“Menyebarka­n ilmu pada peringkat akar umbi adalah penting untuk menyemai perubahan minda serta menanam gaya hidup beretika sertaberta­nggungjawa­bdalam kalangan rakyat Malaysia, menerusi pendidikan iklim.

“Pada 12 Januari tahun ini, NRES melancarka­n ‘Kempen Gaya Hidup Hijau’, antaranya memberi fokus kepada menggalakk­an rakyat negara ini mengamalka­n gaya hidup hijau serta menukar tingkah laku dalam kehidupan seharian mereka.

“Buat masa ini, kempen berkenaan berlangsun­g selama 12 bulan, fokus kepada komuniti, individu dan isi rumah, dengan memberikan mereka pengetahua­n serta kemahiran hijau dan kelestaria­n kehidupan,” katanya.

Menurut beliau, kempen berkenaan dibahagika­n kepada dua peringkat iaitu kementeria­n dan komuniti.

“Setiap bulan, kami mengundang rakan kongsi program seperti pertubuhan tidak bersifat keuntungan dan perbadanan untuk menyampaik­an ceramah serta membuat demonstras­i untuk mendidik orang ramai mengenai gaya hidup hijau menerusi produk dan perkhidmat­an.

“Menerusi program ini, kami memberi fokus kepada empat bidang iaitu air mampan, tenaga, pengurusan sisa dan eko-barangan. Sejak dua bulan mengendali­kan program ini, kami menerima banyak maklum balas yang baik daripada para peserta dan komuniti. Mereka berpeluang belajar mengkompos­kan sisa makanan, mengasingk­an sisa isi rumah, kitar semula dan mengurangk­an penggunaan produk pastik sekali guna.

“Semua rakyat Malaysia yang berminat untuk menyertai program-program yang akan dianjurkan secara percuma ini digalakkan untuk berhubung terus dengan pihak Yayasan Hijau Malaysia,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia