Kilang musnah, dua gudang terjejas kebakaran
Seramai 20 anggota dari BBP Sg Merah dan Sibu Sentral, sebuah jentera serta EMRS dikejar ke lokasi
SIBU: Sebuah kilang arak musnah, manakala sebuah gudang aiskrim dan sebuah gudang minyak masak turut terjejas dalam kebakaran di Jalan Tapah di sini, awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.17 pagi.
Katanya, seramai 20 anggota dari dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral masing-masing bersama sebuah jentera serta Unit
Bantuan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian pada jam 1.27 pagi, komander operasi melaporkan kepulan asap tebal keluar dari dalam kilang arak yang tertutup dan berkunci.
“Anggota bomba terus diarah untuk membuka pintu hadapan kilang menggunakan gergaji berantai dan pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran tiga nozel dari pam jentera dan sumber air pili bomba yang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Andy berkata, operasi pemadaman turut dilakukan secara ofensif dan defensif.
“Api berjaya dikawal pada jam 2.15 pagi namun kilang arak terbabit telah musnah 100 peratus, manakala gudang aiskrim dan minyak masak bersebelahan masing-masing terbakar lima peratus,” katanya.
Andy berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 5.30 pagi.
Punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Setibanya di lokasi kejadian pada jam 1.27 pagi, komander operasi melaporkan kepulan asap tebal keluar dari dalam kilang arak yang tertutup dan berkunci.
Andy Alie