Banduan pertama dibebas di bawah PBSL
Wanita berusia 31 tahun tersebut yang hamil diletak di bawah tahanan rumah untuk menjalani baki hukuman.
Seorang wanita berusia 31 tahun menjadi banduan pertama di Sarawak yang dibebaskan di bawah Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan diletakkan di bawah perintah tahanan rumah untuk menjalani baki bulan hukumannya.
Nini (bukan nama sebenar) juga merupakan banduan keempat di seluruh Malaysia yang diletakkan di bawah perintah tahanan rumah.
Dia dijatuhi hukuman penjara setahun dan sebulan pada Januari 2024 dan ketika itu dia sedang hamil dua bulan.
“Saya gembira dan bersyukur kerana diberi peluang ini untuk pulang lebih awal daripada pembebasan yang dijadualkan, saya boleh pulang ke rumah keluarga, melahirkan bayi di luar Penjara Sibu.
“Perkara pertama yang saya akan lakukan apabila saya pulang ialah bertemu anak-anak saya dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Penjara Pusat Sibu, semalam.
Nini memberitahu, dia mempunyai dua lagi anak di rumah masing-masing berusia dua dan tiga tahun.
Katanya, dia akan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara dan menamatkan hukuman itu.
Sementara itu, Pengarah Penjara Sarawak Teyun Thian Eim berkata, Nini memenuhi salah satu kriteria untuk dibebaskan di bawah PBSL melalui tahanan rumah kerana dia sudah berada dalam trimester ketiga iaitu hamil 28 minggu.
Beliau berkata, jabatan itu mematuhi Peraturan 64 di bawah The Bangkok Rules yang menyatakan hukuman tanpa tahanan untuk wanita mengandung dan wanita dengan anak-anak tanggungan harus diutamakan, di mana boleh dan sesuai, dengan hukuman tahanan dipertimbangkan apabila kesalahan tersebut adalah serius atau ganas atau wanita tersebut adalah ancaman yang berterusan, dan selepas mengambil kira kepentingan terbaik anak atau anak-anak tersebut, sambil memastikan bahawa peruntukan sesuai telah dibuat untuk penjagaan anak-anak berkenaan.
“Kami mengikut peraturan
standard yang ditetapkan di peringkat antarabangsa. Kami tidak melepaskan sesiapa sahaja walaupun kami percaya bahawa hukuman penjara bukanlah penyelesaian bagi peningkatan kes jenayah. Kami berasakan pemulihan komuniti adalah lebih berkesan,” jelasnya.
Kriteria lain katanya, termasuk banduan dijatuhkan hukuman penjara empat tahun ke bawah, banduan warga emas berumur sekurang-kurangnya 70 tahun dan banduan golongan kelainan upaya (OKU).