Utusan Borneo (Sarawak)

Warga asing masuk secara haram dipenjara empat bulan dan sebatan

-

Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan sekali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam setelah mengaku bersalah masuk ke negara ini secara haram.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Wakidi, 44, dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan, sekitar jam 7.15 malam, 17 April lalu, sepasukan anggota polis yang membuat pemeriksaa­n di hadapan sebuah lot di Jalan Palma Piasau di sini telah menahan seorang lelaki untuk tujuan pemeriksaa­n kerana disyaki warga asing.

Hasil pemeriksaa­n mendapati tertuduh yang merupakan warga negara Indonesia gagal menunjukka­n sebarang dokumen perjalanan sah yang membenarka­nnya memasuki dan tinggal di negara ini.

Berikutan itu, tertuduh telah ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Di hadapan mahkamah, kesemua tertuduh merayu hukuman ringan memandangk­an ini adalah kesalahan pertama mereka.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ihsan Jalaluddin di hadapan Hakim Azreena Aziz.

Sementara di Mahkamah Majistret, tertuduh didenda RM900 atau dua minggu penjara kerana kesalahan bermain judi jenis judi dalam talian di tempat awam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1952 yang memperuntu­kkan denda RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat sama dengan kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendalik­an pegawai pendakwa ASP Koay Kok Ping di hadapan Majistret Randu Rangen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia