Utusan Borneo (Sarawak)

PM Haiti Ariel Henry letak jawatan

-

Ariel Henry telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Haiti, membuka jalan kepada kerajaan baharu di negara Caribbean itu, lapor media tempatan kelmarin.

Jawatan itu akan disandang sementara oleh Menteri Ekonomi dan Kewangan Haiti Michel Patrick Boisvert.

Majlis peralihan presiden (CPT) Haiti yang ditubuhkan secara rasmi kelmarin, bertanggun­gjawab untuk memulihkan ketenteram­an di negara itu.

Pelantikan sembilan anggota CPT itu juga diharap dapat memulihkan ketenteram­an perlembaga­an di Haiti, yang terperangk­ap dalam krisis politik dan sosial yang serius yang disebabkan oleh keganasan geng.

Henry telah berjanji untuk meletakkan jawatan sebaik sahaja CPT dibentuk yang memegang tampuk kepimpinan Haiti sejak 2021 selepas pembunuhan Presiden ketika itu Jovenel Moise, menurut Xinhua.

Dalam surat bertarikh 24 April dan disiarkan di media sosial hari ini, Henry mengesahka­n peletakan jawatannya.

Beliau turut mengucapka­n terima kasih kepada semua anggota kerajaan, rakan kerjasama, pentadbira­n awam, pasukan keselamata­n dan semua pihak yang bersama beliau sepanjang tempoh mandatnya.

“Saya mengucapka­n terima kasih kepada semua pihak yang mempunyai keberanian untuk menghadapi cabaran ini dengan saya,” katanya, sambil mengakui “kerugian dan penderitaa­n” rakyat Haiti dalam beberapa tahun kebelakang­an ini yang dicemari dengan keganasan.

“Saya mengucapka­n terima kasih kepada rakyat Haiti atas peluang untuk berkhidmat kepada negara kita dengan integriti, kebijaksan­aan dan kehormatan. Haiti akan dilahirkan semula,” kata Henry.

CPT akan mengemudi negara Haiti ke arah pilihan raya baharu pada 2026 dan seterusnya mencapai kestabilan politik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia